Monday, August 15, 2022

Sarawak menang, tuntutan Petronas diketepikan

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan untuk mengetepikan permohonan Petronas berhubung semakan statusnya dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Menurut Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, keputusan tersebut memberi kemenangan kepada Sarawak dan kebenaran telah berjaya ditegakkan.

“Kita akan mengekalkan status quo sebelum ini,” katanya di Istana Keadilan di sini.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Seri JC Fong memberitahu, Sarawak menghormati undang-undang Persekutuan dan berharap pihak Persekutuan juga bertindak serupa.

“Kita akan meneruskan kerjasama dengan Petronas dan berharap Petronas akan bekerjasama dengan kita di Sarawak untuk mengharmonikan kedua-dua undang-undang demi kepentingan nasional.

“Kita hanya mahu Petronas yang berada di Sarawak untuk memperoleh manfaat daripada sumber asli Sarawak, iaitu petroleum dan mematuhi undang-undang negeri…semudah itu.

“Kita juga akan mematuhi undang-undang persekutuan bersandarkan Perlembagaan.

Katanya, Sarawak tidak akan menguatkuasakan undang-undang yang boleh menimbulkan masalah kepada orang lain.

“Ia akan mewujudkan masalah kepada industri minyak dan gas.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengulangi perkara ini berkali-kali dan ia perlu dihormati,” katanya.

Turut hadir Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rasit. –Sarawakvoice

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru