Saturday, October 8, 2022

Maritim Malaysia tahan dua kapal nelayan Vietnam sedang rompak hasil laut Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak telah menahan dua bot nelayan asing yang menyamar sebagai bot nelayan tempatan pada Rabu lalu, kerana dipercayai merompak hasil laut negeri ini.

Kedua-dua kapal itu dikesan dan ditangkap di kedudukan 65 batu nautika dari utara Tanjung Sirik, Sarikei pada 20 Jun sekitar jam 9.00 malam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri, Robert Teh Geok Chuan berkata, penahanan tersebut turut melibatkan 20 awak-awak dan tekong Vietnam yang berusia antara 16 hingga 55 tahun.

“Mereka ditangkap kerana melaksanakan operasi menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Setelah diperiksa, kita dapati bot tersebut merupakan bot samaran yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran yang sah ketika bot tersebut diperiksa,” katanya pada sidang media berhubung tangkapan tersebut di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, di sini, sebentar tadi.

Kedua-dua bot tersebut kini ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

“Ketika ditangkap, mereka dipercayai baharu dua tiga hari berada di perairan Malaysia.

Jelasnya, kedua-dua bot ini akan disita dan anggaran bagi kedua-dua bot tersebut adalah sekitar RM3 juta.

“Hasil tangkapan mereka yang dianggarkan bernilai RM50,000 pula akan dirampas,” tambahnya lagi.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, Maritim Malaysia telah berjaya menumpaskan tujuh bot nelayan asing di kawasan perairan Sarawak dan melakukan 28 tangkapan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru