Monday, December 5, 2022

Abang Jo tidak jumpa Zahid seperti didakwa

Secara Rawak

KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan beliau menyatakan niat untuk kembali menyertai Barisan Nasional (BN) kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekiranya BN berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan pada masa depan.

Ketua Menteri turut menafikan beliau mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden UMNO itu, dan meminta pandangan berkaitan hasrat BN menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Penjelasan berkenaan dibuat oleh Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang selaku jurucakap mewakili Presiden parti susulan dakwaan berkenaan melalui satu ucapan di satu majlis.

Video ucapan bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditularkan dalam media sosial, pada Khamis.

Ujar Idris, Ketua Menteri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ada mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Ahmad Zahid.

“Parti kita sudah jelas mengumumkan bahawa matlamat meninggalkan BN dan menubuhkan GPS atas alasan hanya parti ini sahaja yang mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk memperjuangkan hak Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Empat parti komponen BN Sarawak – PBB, SUPP, PDP dan PRS – pada 12 Jun lalu mengumumkan keluar daripada BN selepas bersama-sama perikatan itu selama 44 tahun.

GPS diterima baik rakyat pelbagai kaum di Sarawak, sebagai alternatif kepada BN, dan diharap dapat terus memperjuangkan hak dan autonomi Sarawak.

Ahmad Zahid dalam ucapannya mendakwa beliau ada berjumpa dan berbincang dengan Abang Johari berkenaan niat kedua menubuhkan GPS dan meninggalkan BN.

Dalam video berdurasi 2 minit 41 saat itu, Zahid mendakwa, Abang Johari telah meminta pandangan beliau untuk menubuhkan GPS sebagai entiti berlainan daripada BN.

Ini, dakwa beliau, kerana entiti politik Sarawak itu tiada pilihan jika ingin menang dalam pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada 2021.

Pada pilihan raya negeri 2016, Bn Sarawak memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Manakala pada pilihan raya umum (PRU) lalu, BN Sarawak hanya menang 19 daripada 31 kerusi Parlimen. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru