Friday, October 7, 2022

Kebebasan dan autonomi untuk universiti tempatan

Secara Rawak

Saya mempunyai dua perkara yang mahu saya umumkan pada hari ini.

Yang pertama, berkenaan program Integrated Cumulative Grade Point Average Assessment (iCGPA) yang sedang dilaksanakan di Universiti Awam. iCGPA ini adalah sebuah mekanisme bersepadu bertujuan untuk menilai dan melaporkan perkembangan dan prestasi pelajar serta memperolehi keberkesanan, pengetahuan dan kebolehan mereka.

Walau bagaimanapun, kami di Kementerian Pendidikan telah menerima maklum balas berkenaan iCGPA dan telah mengadakan beberapa sesi perkongsian dan pengkajian semula sistem iCGPA bersama kakitangan akademik dan pelajar daripada institusi-institusi yang sedang melaksanakan iCGPA, serta pihak industri dan badan professional yang berkenaan.

Berdasarkan perkongsian pendapat bersama di sesi-sesi tersebut, adalah didapati bahawa semenjak iCGPA dilaksanakan, tumpuan para pensyarah telah beralih dari tugas utama mereka sebagai pensyarah iaitu mengajar, menjalankan kajian, menulis, menyelia pasca siswazah dan berkhidmat kepada masyarakat.

Justeru itu, dengan semangat memberi kebebasan dan autonomi kepada universiti, saya mengambil keputusan membenarkan pihak Universiti Awam untuk memilih sama ada meneruskan ataupun memberhentikan perlaksanaan program iCGPA di universiti masing-masing. Berkuatkuasa pada hari ini program iCGPA adalah tidak lagi wajib dilaksanakan di Universiti Awam. Namun, jika pihak universiti ingin meneruskan program tersebut, keputusan itu hendaklah dibuat selepas mencapai konsensus bersama kakitangan akademik melalui sesi diskusi dan konsultasi dengan mereka.

Jika Universiti Awam mahu memberhentikan program iCGPA, dana lebihan daripada pemberhentian program ini akan disalurkan kepada perpustakaan-perpustakaan supaya universiti-universiti tersebut dapat melanggan jurnal-jurnal antarabangsa yang bermutu. Ini secara tidak langsung akan menggalakkan lagi usaha penyelidikan dan penulisan ilmiah yang berkualiti tinggi.

Saya berharap keputusan ini akan dapat memberi ruang kepada para pensyarah untuk kembali menumpukan usaha kepada peranan dan tugas hakiki mereka demi mengangkat martabat Universiti Awam sebagai medan intelektual yang tersohor.

Selaras dengan itu, para pensyarah juga tidak dibenarkan lagi untuk dipertanggungjawabkan bagi menambah sumber kewangan universiti masing-masing. Bahagian kewangan universiti harus mengambil peranan utama dalam menjalankan tugas ini; bukan tenaga akademik.

Maka, sekiranya mereka yang dilantik untuk jawatan itu gagal menjana kewangan bagi universiti, mereka hendaklah ditukarkan dengan orang yang lebih layak dan mampu menjalankan tugas tersebut.

Mulai hari ini juga, pihak penerbit di Universiti Awam hendaklah menggandakan usaha penerbitan hasil kajian yang berkualiti di dalam Bahasa Inggeris. Mereka juga bertanggungjawab untuk memasarkan hasil penulisan para pensyarah ke peringkat global.

Adalah hasrat saya sebagai Menteri Pendidikan Malaysia agar bermula tahun 2018 ini, penulisan para akademik tempatan akan tersebar ke seluruh dunia sekaligus mengangkat martabat Universiti Awam Malaysia di peringkat antarabangsa.

Perkara yang kedua yang saya mahu umumkan adalah penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang akan dipengerusikan oleh YB Nurul Izzah Anwar.

Jawatankuasa ini berperanan untuk menyediakan sebuah laporan untuk memperkasakan dan menaikkan taraf TVET. YB Nurul Izzah merupakan seorang yang sangat mengambil berat tentang pendidikan TVET dan telah berbincang dengan saya bagaimana TVET dapat membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan dan juga keusahawanan.

Saya dengan ini amat berbesar hati mengalu-alukan YB Nurul Izzah sebagai Pengerusi Jawankuasa Pemerkasaan TVET ini.

Kerajaan Pakatan Harapan sedar akan pentingnya aliran teknikal dan vokasional dan selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan, kami komited untuk membangunkan aliran ini agar ia benar-benar setaraf dengan aliran lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua.

Kenyataan Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidilan dalam sidang media di Putrajaya pada Khamis.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru