Monday, August 15, 2022

Dr Maszlee beri autonomi kepada universiti mansuhkan iCGPA serta merta hari ini

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebentar tadi memberikan kebebasan dan autonomi kepada universiti-universiti awam di negara ini untuk memilih sama ada meneruskan ataupun memberhentikan perlaksanaan program iCGPA di universiti masing-masing.

Menurutnya, arahan tersebut berkuat kuasa hari ini dan program iCGPA tidak lagi wajib dilaksanakan di Universiti Awam.

“Namun, jika pihak universiti ingin meneruskan program tersebut, keputusan itu hendaklah dibuat selepas mencapai konsensus bersama-sama kakitangan akademik melalui sesi diskusi dan konsultasi dengan mereka.

iCGPA merupakan program Integrated Cumulative Grade Point Average Assessment — mekanisme bersepadu bertujuan untuk menilai dan melaporkan perkembangan dan prestasi pelajar serta memperolehi keberkesanan, pengetahuan dan kebolehan mereka.

Katanya, keputusan itu diambil setelah pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan menerima maklum balas berkenaan iCGPA selain mengadakan beberapa sesi perkongsian dan pengkajian semula sistem iCGPA bersama-sama kakitangan akademik dan pelajar daripada institusi-institusi yang sedang melaksanakan iCGPA.

“Turut dibawa berbincang, pihak industri dan badan professional yang berkenaan.

“Berdasarkan perkongsian pendapat bersama di sesi-sesi tersebut, adalah didapati bahawa semenjak iCGPA dilaksanakan, tumpuan para pensyarah telah beralih dari tugas utama mereka sebagai pensyarah iaitu mengajar, menjalankan kajian, menulis, menyelia pascasiswazah dan berkhidmat kepada masyarakat.

Tegasnya, jika Universiti Awam mahu memberhentikan program iCGPA, dana lebihan daripada pemberhentian program ini akan disalurkan kepada perpustakaan-perpustakaan supaya universiti-universiti tersebut dapat melanggan jurnal-jurnal antarabangsa yang bermutu.

“Ini secara tidak langsung akan menggalakkan lagi usaha penyelidikan dan penulisan ilmiah yang berkualiti tinggi.

Beliau berharap keputusan ini akan dapat memberi ruang kepada para pensyarah untuk kembali menumpukan usaha kepada peranan dan tugas hakiki mereka demi mengangkat martabat universiti awam sebagai medan intelektual yang tersohor.

“Selaras dengan itu, para pensyarah juga tidak dibenarkan lagi untuk dipertanggungjawab bagi menambah sumber kewangan universiti masing-masing.

“Bahagian kewangan universiti harus mengambil peranan utama dalam menjalankan tugas ini; bukan tenaga akademik.

“Maka, sekiranya mereka yang dilantik untuk jawatan itu gagal menjana kewangan bagi universiti, mereka hendaklah ditukarkan dengan orang yang lebih layak dan mampu menjalankan tugas tersebut.

Mulai hari ini juga, kata Dr Maszlee pihak penerbit di Universiti Awam hendaklah menggandakan usaha penerbitan hasil kajian yang berkualiti dalam Bahasa Inggeris.

“Mereka juga bertanggungjawab untuk memasarkan hasil penulisan para pensyarah ke peringkat global.

“Adalah hasrat saya sebagai Menteri Pendidikan Malaysia agar bermula tahun 2018 ini, penulisan para akademik tempatan akan tersebar ke seluruh dunia sekali gus mengangkat martabat Universiti Awam Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pada sidang media yang sama, Dr Maszlee turut mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

“Jawatankuasa ini berperanan untuk menyediakan sebuah laporan untuk memperkasak dan menaikkan taraf TVET.

“YB Nurul Izzah merupakan seorang yang sangat mengambil berat akan pendidikan TVET dan telah berbincang dengan saya bagaimana TVET dapat membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan dan juga keusahawanan.

“Saya dengan ini amat berbesar hati mengalu-alukan YB Nurul Izzah sebagai Pengerusi Jawankuasa Pemerkasaan TVET ini.

Kerajaan Pakatan Harapan tegasnya, sedar akan pentingnya aliran teknikal dan vokasional dan selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan, iaitu komited untuk membangunkan aliran ini agar ia benar-benar setaraf dengan aliran lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua,” tegasnya.–Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru