Tuesday, May 11, 2021

Konflik di Selatan Thailand: PAS gesa Malaysia terus jadi fasilitator rundingan damai

Mesti baca

KUALA LUMPUR: Malaysia harus meneruskan peranan penting sebagai fasilitator dalam rundingan damai di wilayah Selatan Thailand yang sedang berlangsung antara Kerajaan Thailand dengan Majlis Syura Patani.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata walaupun berlaku perubahan kepimpinan kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14, Malaysia tidak wajar menghentikan peranan yang telah dijalankan.

Sebaliknya ujarnya, Malaysia mesti terus bersikap proaktif untuk mengembalikan keamanan serta kestabilan sosiopolitik di wilayah bergolak berkenaan khususnya dan rantau Asean umumnya.

Katanya, jika disorot peranan yang telah dilakukan oleh Malaysia pada tahun 2006,  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah bertindak sebagai fasilitator dalam Rundingan Damai Langkawi antara Kerajaan Thailand dan koalisi BERSATU.

“Satu pelan damai juga telah dirangka dan beberapa mesyuarat susulan telah dijalankan selepas itu. Usaha Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai tetap diteruskan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima dan keenam,” katanya dalam satu kenyataan, merujuk kepada usaha Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

“Komitmen ini juga merupakan satu simbolik pro keamanan dan kecaknaan negara terhadap nasib umat Islam sedunia,” katanya.

PAS, jelasnya, sentiasa konsisten menunjukkan sokongan terhadap usaha kerajaan sebagai fasilitator dalam mana-mana rundingan damai yang telah dan akan dijalankan di rantau ini.

Contohnya, ujar beliau, PAS telah mengalu-alukan kejayaan Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik di Mindanao pada tahun 2012.

“Malah, PAS turut menggesa kerajaan agar berusaha merealisasikan pelan damai di Wilayah Selatan Thai dan mesti menjadikan urusan ini sebagai agenda penting nasional,” katanya.

Hal ini, katanya, termasuk juga merangka usaha-usaha pembelaan terhadap nasib umat Islam Rohingya, Myanmar.

 

Secara Rawak

Artikel Terbaru