Monday, November 28, 2022

Dilema Sarawak: Antara MA63 dengan reformasi politik

Secara Rawak

Sememangnya rakyat Sarawak sangat bangga dan patriotik apabila berbicara berkenaan negeri kesayangan mereka.

Justeru tercetusnya suatu gerakan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ia disambut baik oleh semua pihak termasuklah pemimpin-pemimpin tempatan.

Namun, semestinya terdapat golongan yang skeptik terhadap gerakan tersebut. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa tuntutan itu sangat bermakna khususnya kepada rakyat negeri ini.

Persoalan yang akan dibincangkan adalah, apakah makna perjuangan tersebut jika tiada perubahan politik? Dengan bahasa lebih mudah, apalah guna jika kita dapat semua hak kita, kalau hak-hak itu hanya dapat dimanfaatkan oleh golongan kleptokrat sahaja?

Sebagai contoh, keadaan di mana kita memiliki hak ke atas Petroleum sekalipun, kalau pemimpin tidak menggunakan keuntungan itu bagi pembangunan negeri apa gunanya? Kalau semua khazanah negeri diguna untuk memperkaya kroni-kroni maka sekadar hangat-hangat tahi ayam sahajalah perjuangan ini.

Sarawak memang secara fizikalnya sudah kaya, dengan kayu balak dan sumber asli yang lain. Di mana perginya kekayaan tersebut selama ini? Adakah tidak cukup untuk kita salahkan pihak Semenanjung semata-mata? Atau ia hanya sentimen oleh politikus Sarawak bagi menutup kelemahan kleptokrat dan menjaga korupsi yang diamalkan selama ini.

Jadi, kita usah hipokrit. Apabila mahu berbicara soal perjuangan, kita juga perlu mengupas mengenai perubahan, reformasi politik secara keseluruhannya. Jangan sesekali kita terleka oleh MA63 daripada the big elephant in the room.

Budaya politik lama di Sarawak ini sudah cukup parah. Perubahan sebenar perlu dilakukan secara mendadak sebelum rakyat betul-betul marah dan memberontak.

Pasca PRU-14, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dalam wawancara menyatakan kekesalan beliau tidak bertindak dan menyatakan perkara sebenar kepada pucuk pimpinan parti. Sesalan tersebut harus menjadi pengajaran kepada saudara di seberang Laut China Selatan, PBB.

Kejatuhan kerusi Puncak Borneo buat pertama kalinya merupakan petanda retak yang menunggu belah.

Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi BN Sarawak ketika itu mendakwa akan memenangi 27 kerusi daripada 31 yang ditandingi. Ternyata jangkaan itu meleset.

Kendatipun begitu, yang menjadi masalah sebenar ialah keengganan pucuk pimpinan untuk menerima hakikat yang mereka bagai telur di hujung tanduk.

Bukan itu sahaja, sebelum PRU lagi Peter Minos dengan sambil lewa mendakwa isu nasional hanyalah masalah Semenanjung dan orang Sarawak usah terpengaruh.

Saya bersyukur kerana rakyat Sarawak cukup bijak untuk tidak menerima bulat-bulat kenyataan Minos itu. Bagaimana isu nasional tidak memberi kesan di Sarawak sedangkan GST dilaksanakan di seluruh Malaysia?

Penyelewengan 1MDB ialah penyelewangan duit rakyat Malaysia termasuklah duit pembayar cukai dari Sarawak.

Analisis bahawa rakyat Sarawak lebih mementingkan politik pembangunan tidak lagi boleh diguna pakai. Maksudnya, mereka perlukan pemimpin yang betul-betul boleh bekerja dan merealisasikan politik pembangunan tersebut, bukan sekadar omong kosong.

PBB telah menjadi parti yang dihuni oleh golongan yang angkuh dan sombong. Keluarlah dari BN sekalipun, jika sikap yang sama masih disemai, penolakan rakyat adalah jawabnya.

Tambahan pula, PBB tidak dapat menandingi PH yang sudah menjadi kerajaan pusat, yang semestinya akan mengerah seluruh tenaga mereka bagi mempengaruhi pengundi.

Bahkan, PH memiliki lebih ramai pemuda yang berkaliber, berwawasan dan berkarisma. PBB? Dipenuhi oleh golongan tua yang tidak mahu perubahan. Belajarlah wahai PBB sebelum dihukum oleh rakyat. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru