Tuesday, June 22, 2021

Gabungan Parti Sarawak (GPS): Tiada teman yang kekal, musuh yang abadi

Mesti baca

Dalam politik, memang tidak ada teman yang kekal atau musuh yang abadi. Yang kekal dan abadi ialah kepentingan dan survival politik masing-masing.

Musuh semalam boleh menjadi sahabat hari ini, dan teman semalam menjadi musuh hari ini. Lihat sahaja apa-apa yang berlaku sebelum dan selepas pilihan raya umum lalu.

Kesetiaan dan istilah timbul dan tenggelam hanya ada dalam kamus. Tetapi bukan dalam kamus politik.

Itulah yang berlaku apabila empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak  mengambil langkah drastik, keluar daripada entiti berkenaan.

Selepas berdepan pelbagai ujian dan cabaran, serta kemenangan dalam tempoh 44 tahun, pernahkah anda terfikir sebelum 9 Mei lalu, bahawa akhirnya BN terkubur di Sarawak.

Empat parti komponen yang mengadakan mesyuarat khas pada Selasa lalu, meninggalkan BN.

Apakah justifikasi di sebalik tindakan drastik itu?

Lebih kepada survival politik BN yang ini diberi nama baharu, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Singkatan GPS itu menarik, kerana GPS biasanya memberi arah dan hala tuju yang betul.

Diharap GPS dapat memberi arah yang betul dan sentiasa berada di atas landasan yang betul.

Ternyata, yang penting wadah baharu ini adalah sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP), keluar daripada BN selepas kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seterusnya tidak lagi membentuk Kerajaan Pusat.

Dengan kata lain, keputusan dan tindakan menubuhkan perikatan politik baharu adalah penting demi survival  politik keempat-empat parti berkenaan.

Dengan itu diharapkan  peluang untuk mempertahankan kerajaan negeri adalah lebih cerah pada pilihan raya negeri akan datang.

Meskipun turut diperli dan diberi komen negatif oleh Pakatan Harapan – parti pembangkang di peringkat negeri – namun, inilah politik.

GPS perlu berdepan dengan realpolitik.Realitinya, pengundi sudah semakin sedar dan faham akan politik, dan berani menolak pemimpin dan parti yang dilihat tidak memperlihatkan prestasi yang baik.

Perikatan politik  baharu yang dinamakan GPS itu ialah satu keperluan mendesak atau mereka berdepan cabaran politik paling getir pada PRN, dalam tempoh sekitar tiga tahun lagi.

Jika masih bersama BN, mereka tentu terpalit dengan imej negatif, apatah lagi dengan kekalahan teruk pada 9 Mei lalu.

BN hanya memenangi 79 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

Di Sarawak BN hanya memenangi 19 daripada 31 kerusi. Itu petanda awal bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

Maka, empat parti komponen berkenaan perlu segera bangkit dan menjenamakan semula dirinya, segera.

Jika mereka bertanding di bawah simbol dacing, hakikatnya simbol itu dilihat simbol yang tidak boleh lagi dijual, malah dilihat sebagai simbol yang beracun.

Malah, dengan keluarnya BN Sarawak daripada BN Pusat, masa depan BN juga dalam bahaya. Mungkinkah BN akhirnya akan terkubur, dan UMNO akhirnya terkapai-kapai sendiri. Pada PRU lalu UMNO memenangi 54 kerusi.

Kalau empat parti itu tidak keluar daripada BN, risiko mengalami kekalahan lebih teruk dalam PRN negeri, tidak dapat ditolak begitu sahaja.

Sesungguhnya, angin perubahan sudah bertiup kencang, termasuk di kawasan luar bandar.  Saksikan sahaja apa yang berlaku di Selangau, Lubok Antu, Saratok, Julau, Puncak Borneo, malah di Mas Gading.

PH Sarawak kini menguasai 12 kerusi Parlimen selepas dua wakil rakyat Bebas di Julau dan Lubok Antu, Larry Sng Wei Shien dan Jugah Muyang, diterima masuk sebagai ahli PKR.

Jadi, pilihan empat parti komponen itu adalah untuk leluar BN . Cabarannya kini adalah untuk memberi keyakinan kepada rakyat di Sarawak bahawa mereka dapat terus diyakini untuk memimpin negeri ini selepas 2021 nanti.

Caranya, menjadi wadah politik yang memiliki integriti tinggi dan mampu memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Di bahu GPS-lah kini terletak usaha memperjuangkan hak Sarawak terutama yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Mereka perlu lantang bersuara di Parlimen demi memastikan hak Sarawak tidak dicabul, termasuk dari segi royalti minyak dan gas. –Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru