Wednesday, December 7, 2022

Tazkirah Ramadan: Al-Quran kitab petunjuk Allah

Secara Rawak

AL-QURAN ialah kitab petunjuk daripada Allah. Ia menerangkan kepada manusia erti petunjuk itu, serta menjadi pembeza antara yang hak dan yang batil.

Ia diturunkan untuk membentuk generasi bertakwa kepada Allah iaitu generasi yang menjadi hamba kepada Allah dan mereka memiliki ciri unggul sepertimana digariskan oleh al-Quran.

“Alif. Laam. Miim. Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang yang bertakwa.” (maksud al-Baqarah: 1-2)

Al-Quran ialah kitab wahyu terakhir diturunkan oleh Allah untuk manusia. Ia disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada umat manusia, dan baginda menterjemahkannya dalam kehidupan baginda seharian.

Generasi yang mengubah dunia ini, asalnya penghuni padang pasir yang gersang. Mereka pernah mewarisi ajaran rimba, namun melalui al-Quran, mereka menjadi generasi yang dikekalkan kisahnya dalam al-Quran.

Bagaimanakah al-Quran berperanan membentuk generasi yang bertakwa?

Yang jelas al-Quran memaparkan kepada manusia tentang hakikat diri mereka – siapa manusia, di mana mereka berada, dan ke mana mereka akhirnya.

Melalui jawapan yang al-Quran kemukakan, manusia lalu diajak untuk membersihkan dirinya. Sehingga, al-Quran juga menyediakan panduan yang lengkap dan sempurna tentang bagaimana sewajarnya manusia menjadi orang beriman.

Kalimah takwa ialah kalimah daripada al-Quran.

Orang bertakwa adalah orang yang beriman serta beramal dengan arahan dan panduan al-Quran. Dan merekalah orang yang beruntung di dunia dan di akhirat.

Di samping istilah ini, al-Quran juga menyebut golongan yang beruntung ini sebagai hamba kepada ar-Rahman.

Apabila kita saksikan keadaan yang ada, ternyata al-Quran hanya diakui benar. Umat yang yang mendakwa beriman, hanya mengaku beriman dengan al-Quran, tetapi hakikatnya, al-Quran itu diketepikan.

Akibatnya, golongan yang dijanjikan kemenangan dan kebaikan tidak dapat meraih sebarang keuntungan.

Umat Islam bagaikan itik yang mati kehausan dalam kolam. Umat Islam tersesat walaupun di tangan mereka ada al-Quran, sebagai kitab petunjuk daripada Allah.

“Allah itu Pelindung orang yang beriman, mereka dikeluarkan-Nya dari kegelapan kepada cahaya yang terang, dan orang yang tidak beriman itu pelindungnya syaitan, mereka dikeluarkan dari cahaya yang terang kepada kegelapan. Orang itu ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (maksud al-Baqarah: 257)

Menyaksikan peranan al-Quran yang begitu ampuh dalam memupuk generasi yang gemilang, timbul persoalan tentang kenapa kitab yang sama tidak membekas dalam masyarakat internet kini?

Sewajarnya, melalui kemudahan komunikasi yang begitu sofistikated, manusia zaman ledakan maklumat sewajarnya setanding generasi sebelumnya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru