Wednesday, December 7, 2022

Tazkirah Ramadan: 10 malam akhir Ramadan yang dilupakan

Secara Rawak

AMAT menarik mengetahui perkara yang dilakukan Rasulullah SAW lakukan pada hari-hari akhir Ramadan.

Baginda SAW menghidupkan hari-hari Ramadan berbaki dengan menghidupkan malamnya dengan solat dan iktikaf sebanyaknya.

Mengintai Lailatul Qadar adalah perkara baginda lakukan, khususnya pada malam-malam ganjil pada 10 akhir Ramadan itu.

Baginda tidak disibukkan dengan persiapan raya Syawal, kerana yang baginda tunjukkan orang berpuasa itulah yang sebenarnya layak untuk berhari raya.

Orang yang tidak berpuasa atau yang tidak membesarkan hari-hari Ramadan, sewajarnya rasa malu untuk meraikan hari lebaran kerana tiada keistimewaan Ramadan yang hendak dibesarkan pada 1 Syawal atau hari kemenangan itu.

Rasulullah SAW mengkhususkan 10 hari terakhir bulan Ramadan dengan amalan yang tidak baginda lakukan pada bulan lain.

Baginda menghidupkan malam sebahagian besar daripada malam akhir Ramadan dengan solat, bacaan al-Quran dan zikrullah.

Keadaan ini berlaku, seolah-olah baginda tidak tidur malamnya. Aisyah RA berkata: “Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW solat malam hingga pagi.” (maksud hadis Riwayat Muslim)

Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW juga berkata: “Apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, Rasulullah SAW mengencangkan kainnya menjauhkan diri dari menggauli isterinya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya untuk menghidupkan malam.” (maksud hadis Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW bukan sekadar menghidupkan malam-malam 10 akhir Ramadan sendirian, bahkan baginda membangunkan ahli keluarganya untuk solat malam, sedangkan pada malam lain tidak demikian.

Baginda juga membangunkan Aisyah RA pada malam hari apabila selesai tahajud baginda dan ingin melakukan solat witir.

Dalam hadis Abu Dzar R.A disebutkan: “Bahawasanya Rasulullah SAW melakukan solat bersama mereka para sahabat pada malam 23, 25, dan 27 serta disebutkan baginda mengajak solat keluarga dan isteri-isterinya pada malam 27 saja.”

Ini menunjukkan bahawa baginda sangat menggalakkan kita supaya jangan lupa ahli keluarga pada malam-malam yang diharapkan turun Lailatul Qadar di dalamnya.

Di samping itu, inilah juga bukti bahawa di antara amalan yang sepatutnya kita lakukan ialah menghidupkan malam akhir Ramadan dengan ibadat.

Adakah kita termasuk dalam golongan yang menuruti jejak Nabi SAW?
At-Thabarani meriwayatkan dari Ali RA: “Bahawa Rasulullah SAW membangunkan keluarganya pada 10 akhir Ramadan, dan setiap anak kecil mahupun orang tua yang mampu melakukan solat.

Diriwayatkan juga: “Bahawa Rasulullah SAW mengetuk pintu Fathimah dan Ali RA pada suatu malam seraya berkata: “Tidakkah kamu bangun lalu mendirikan solat ?” (maksud hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan bahawa baginda tidak kembali ke tempat tidurnya sehingga Ramadan berlalu. Dalam hadis Anas RA disebutkan: “Dan baginda melipat tempat tidur baginda dan menjauhi isteri-isteri baginda tidak menggauli mereka.”

Nabi SAW melakukan itikaf pada 10 hari terakhir yang di dalamnya dicari Lailatul adar untuk menghentikan pelbagai kesibukannya, mengosongkan fikirannya dan untuk mengasingkan diri demi bermunajat kepada Tuhannya, berzikir dan berdoa kepada-Nya.

Adapun makna dan hakikat itikaf ialah memutuskan hubungan dengan segenap makhluk untuk menyambung penghambaan kepada Allah SWT.

Mengasingkan diri yang disyariatkan kepada umat ini iaitu dengan itikaf di dalam masjid , khususnya pada Ramadan dan lebih khusus lagi pada 10 hari terakhir Ramadan.

Orang yang beritikaf mengikat dirinya untuk taat kepada Allah SWT, berzikir dan berdoa kepada-Nya, serta memutuskan dirinya dari segala hal yang menyibukkan diri daripada pada-Nya.

Dia beritikaf dengan hatinya kepada Tuhannya, dan dengan sesuatu yang mendekatkan dirinya kepada-Nya. Dia tidak memiliki keinginan lain kecuali Allah SWT dan reda-Nya
Dalam riwayat imam Malik disebutkan bahawa Umar RA melakukan solat malam seperti yang ditunjuklan oleh Rasulullah SAW, sehingga apabila sampai pada pertengahan malam, dia membangunkan keluarganya untuk solat dan mengatakan kepada mereka: “Solat! solat!” Kemudian membaca ayat ini: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. ” (maksud Thaha: 132).

Pada sepuluh akhir Ramadan ini, Nabi SAW mengakhirkan berbuka sehingga waktu sahur. Seperti diriwayatkan Aisyah RA dan Anas RA, bahawa Rasulullah SAW pada malam-malam 10 akhir bulan Ramadan menjadikan makan malam berbukanya pada waktu sahur.

Dalam hadis marfu’ dari Abu Sa’id RA baginda bersabda: “Janganlah kamu menyambung puasa dan jika salah seorang dari kamu ingin menyambung puasanya maka hendaknya dia menyambung hingga waktu sahur saja. Mereka bertanya: “Sesungguhnya engkau menyambungnya wahai Rasulullah SAW?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya aku tidak seperti kamu. Sesungguhnya pada malam hari ada yang memberiku makan dan minum.” (maksud hadis Riwayat Bukhari)

Pada 10 akhir Ramadan, Rasulullah SAW mandi antara Maghrib dan Isyak.

Inilah amalan yang dilakukan oleh generasi yang dididik oleh Nabi SAW sehingga diriwayatkan mereka menyukai mandi pada setiap malam pada 10 hari terakhir.

Di antara mereka ada yang mandi dan menggunakan wangi-wangian pada malam yang paling diharapkan turun Lailatulqadar. (maksud hadis Riwayat Ibnu Jarir)

Dianjurkan pada malam diharapkan di dalamnya turun Lailatul Qadar agar kita mencontohi Nabi SAW serta sahabat baginda, untuk membersihkan diri, menggunakan wangi-wangian dan berhias dengan mandi sebelumnya dan berpakaian terbaik, sepertimana dianjurkannya perkara tersebut pada waktu solat Jumaat dan hari raya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru