KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak habis-habis dengan kerenah dan gimiknya untuk menarik perhatian ramai meskipun kini dia sedang diburu polis.

Terbaharu Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar melalui satu video mencadangkan nama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Presiden Umno dalam pemilihan, 30 Jun ini.

Jamal turut menamakan pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan Presiden Umno.

“Naib Presiden Umno pula ialah, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan seorang calon lain.

“Begitu juga dengan ketua wanita dan puteri,” katanya menerusi satu video yang dihantar seorang ahlinya melalui aplikasi WhatsApp kumpulan media,di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu.

Dalam video sama, Jamal turut membayangkan untuk bertanding kerusi utama sayap Pemuda dalam mendepani cabaran parti itu pada masa sekarang.

“Insya-Allah, jika saya terpilih dalam perwakilan saya akan bertindak membangunkan kembali pemuda supaya sayap UMNO ini kembali bermaruah dan terus dihormati demi untuk kejayaan pada masa akan datang,” katanya. –Sarawakvoice