Wednesday, December 7, 2022

Tazkirah Ramadan: Iktikaf di masjid mencari lailatul qadar

Secara Rawak

KINI tiba malam-malam yang bakal munculnya Lailatulqadar atau malam kemuliaan. Ia disebut oleh Nabi SAW dengan sabda baginda: “Demi Allah SWT di bulan itu ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.” (maksud hadis Riwayat Nasai dan Ahmad).

Kelebihan satu malam itu lebih baik dari 1,000 bulan dijelaskan oleh Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.” (maksud al-Qadr 1-3)

Pada Ramadan sudah berada pada hari-hari terakhirnya, ia akan pergi bersama-sama dengan semua anugerah Allah SWT, dan tidak akan kembali.

Istimewanya Ramadan ini, menyebabkan pencintanya menangisi pemergiannya. Harapan orang yang soleh mahu agar Ramadan itu berkekalan kerana ia bulan istimewa dan bulan penuh keberkatan.

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang melaksanakan puasa Ramadan kerana iman kepada Allah SWT dan mengharapkan pahala hanya dari-Nya, maka diampuni dosa yang lalu dan barangsiapa menghidupkan Lailatul Qadar kerana iman kepada Allah SWT dan mengharapkan pahala hanya dari-Nya, maka akan diampuni dosa yang lalu.” (maksud hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Malik, Nasai, Ibnu Majah, Ahmad, Tirmidzi dan Darimi)

Berdasarkan riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Aisyah RA bahawa Nabi SAW apabila memasuki 10 akhir Ramadan, baginda mengetatkan ikatan sarung kain baginda dengan maksud menjauhi isteri baginda, menghidupkan malamnya dengan beribadah dengan membangunkan ahli keluarga baginda.

Di antara perkara yang Nabi SAW tunjukkan ketika berada pada hari-hari akhir Ramadan ialah baginda mencari Lailatulqadar ini pada 10 malam terakhir.

Bagaimanakah cara kita istikamah mencari Lailatul Qadar ini? Sudah tentulah dengan melakukan iktikaf di masjid sepanjang 10 hari terakhir Ramadan.

Tujuan iktikaf ialah supaya kita dapat memberi tumpuan dan berfokus hanya mencari reda Allah SWT. Segala ingatan, kecintaan dan tumpuan hanya kepada Allah SWT semata-mata.
Iktikaf adalah sunah hukumnya, iaitu dilakukan secara sukarela semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah SWT.

Tempat beriktiqaf sebaiknya di masjid iaitu dilaksanakan di masjid diguna untuk membuat solat Jumaat.

Apabila sudah bulat tekad kita itu, maka hendaklah dijaga diri kita daripada melakukan perkara membatalkan iktikaf.

Di antara perkara membatalkan iktikaf ialah meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar.

Orang yang beriktikaf itu hendaklah berdisiplin dan tidak sewenang-wenangnya keluar dan masuk tempat iktikaf.

Baginda di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan hanya bercakap sekejap. Selama beriktikaf itu, perbanyakkan tasbih, tahmid, takbir, istighfar, tahlil, dan berzikirlah dengan khusyuk.

Seeloknya kita membaca al-Quran serta mengkhatamkannya berkali-kali ketika beriktikaf.
Ada baiknya, ketika iktikaf itu kita menelaah kitab tafsir, kitab hadis, dan kitab tulisan ulama muktabar.

Bertafakur tentang keadaannya yang telah lalu, hari ini dan masa mendatang ketika iktikaf amat digalakkan.

Ini kerana dengan memikirkan dosa dan pahala serta mengingati mati dan amalan baik dan buruk masa lampau, dapat memberi keinsafan serta memberi semangat untuk membanyakkan amal baik.

Mari kita beriktikaf pada baki hari-hari akhir Ramadan ini. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru