Chong minta anggota Kabinet Sarawak, pegawai tinggi Kerajaan Negeri isytihar harta

0
2

KUCHING: Pemimpin tertinggi negeri Sarawak digesa melakukan pengisytiharan aset selaras dengan dasar bersih rasuah yang diperkenalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, ia termasuk menteri, menteri muda dan pegawai tinggi kerajaan.

“Ia perlu dilakukan sebagai usaha pencegahan rasuah terutama dalam kalangan pemimpin kerajaan.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini melahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dari aspek pentadbiran dan dasar.

“Oleh itu, beliau (Abang Johari) serta Kerajaan Negeri perlu mengikut dasar yang diperkenal oleh PH bagi memastikan kerajaan ditadbir urus dengan baik dan telus,” kata Ahli Parlimen Stampin itu pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini semalam.

Chieng Jen berkata, Kerajaan Negeri juga perlu mencontohi dasar pengisytiharan harta yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengarahkan barisan kabinet serta pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta mereka.

Pengisytiharan ini dilaporkan terus kepada Tun M sebelum dirujuk kepada agensi berkaitan bagi mengelak sebarang salah laku rasuah.

Untuk rekod, Sarawak merupakan Kerajaan Negeri pertama di Malaysia yang menandatangani akujanji dan ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu.

Malah langkah yang diambil Kerajaan Sarawak itu turut dijadikan sebagai ikutan negeri lain di Malaysia untuk melaksanakan perkara sama. –Sarawakvoice