Chong desak sistem monopoli beras oleh Bernas ditamatkan

0
6

KUCHING: Kerajaan digesa menghapuskan sistem monopoli pengimportan beras yang kini dikuasai syarikat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas).

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, langkah tersebut akan membolehkan pengguna menikmati harga beras yang relatif lebih rendah berbanding sebelum ini.

“Kita percaya pengguna beras akan dapat menikmati harga yang lebih murah dengan penghapusan sistem monopoli yang diamalkan sekarang.

“Seperti yang kita sedia maklum bahawa sistem (monopoli) itu telah diperkenalkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini hari ini.

Katanya, isu harga beras tinggi bukan sahaja berlaku di Sarawak malah di Sabah dan Semenanjung.

Sehubungan itu, hak mengimport beras katanya, perlu diubah kepada sistem pasaran terbuka bagi memberi peluang sama rata kepada peniaga yang mempunyai permit.

“Oleh itu amat penting pelaksanaan sistem monopoli itu ditukar kepada sistem pasaran terbuka.

“Kementerian perlu mengambil tindakan drastik untuk mengubah sistem dan dasar yang selama ini menekan pasaran menerusi pengeluaran permit untuk mengimport beras,” kata Ahli Parlimen Stampin itu.

Usaha tersebut katanya, bukan sahaja memanfaatkan peniaga, malah memberi kelebihan kepada pengguna untuk menikmati kadar harga yang lebih rendah dan berbaloi.

Chieng Jen berkata, keuntungan kasar Bernas setahun dianggarkan mencecah RM104.4 juta hasil daripada penjualan beras putih dan beras wangi di Sarawak. –Sarawakvoice