Wednesday, December 7, 2022

Tazkirah Ramadan: Iktikaf di masjid 10 akhir Ramadan

Secara Rawak

TELAH bersepakat di antara semua umat Islam bahawa hukum iktikaf pada 10 akhir Ramadan adalah sunat yang dituntut.

Ini kerana beriktikaf adalah sunah Rasulullah SAW.

Asas disyariatkan iktikaf pada 10 akhir Ramadan ialah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah (RA) bahawa Nabi SAW selalu beriktikaf pada 10 akhir Ramadan sehingga diwafatkannya oleh Allah, kemudian (diteruskan sunah) iktikaf selepasnya oleh para isterinya. (maksud hadis muttafaq ‘alaih)

Daripada Abi Hurairah (RA), dia berkata: “Nabi SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap Ramadan 10 hari (akhirnya). Manakala pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf 20 hari.” (maksud hadis sahih al-Bukhari)

Di antara hikmah dan tujuan iktikaf ialah meluangkan diri daripada kesibukan dunia dan anak isteri, demi mencari kejernihan jiwa dan membina kekuatan sebagai bekalan diri dalam melancarkan kegiatan hidup secara lebih baik.

Foto : Tanwir.my

Di samping itu, kalaulah Ramadan merupakan sebulan ujian yang penuh dengan rahmat bagi masa setahun, maka iktikaf pada 10 hari akhir Ramadan adalah beberapa hari yang merupakan ujian khas yang lebih tinggi kepada orang yang berjaya menempuh ujian Ramadan secara umumnya.

Melalui iktikaf juga merupakan usaha mendapatkan Lailatul Qadar menurut sunah Rasulullah SAW.

Amat sedikit bilangan umat Islam yang beriktikaf pada 10 akhir Ramadan berbanding jumlah mereka yang ada di dunia ini.

Walhal, baginda tidak meninggalkannya. Memang tidak sayugia orang meninggalkan iktikaf pada 10 akhir Ramadan khususnya bagi pendakwah dan pejuang juga orang yang mengaku cinta kepada sunah Rasulullah SAW.

Beriktikaf ialah di masjid atau surau, walaupun ada berselisih ulama tentang sama ada tempat itu untuk solat Jumaat atau tidak.

Tempat yang paling baik ialah Masjidilharam di Mekah al-Mukarramah, al-Masjil an-Nabawi di Madinah al-Munawwarah, al-Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis dan Masjid jamek umumnya.

Dari segi hukumnya, sah iktikaf di dalam masjid di atas menara yang berhubung dengannya atau serambinya atau di kawasan mana sahaja yang dinamakan masjid.

Disunatkan seorang wanita yang beriktikaf di dalam masjid mengadakan tabir yang dapat melindungi dirinya dari penglihatan, tetapi tidaklah sampai menyempitkan ke atas orang yang bersolat.

Ada ulama berpendapat sah iktikaf perempuan di dalam masjid di rumahnya, iaitu di mana-mana satu ruangan dari rumahnya yang disediakan khusus untuk solatnya.

Ada ulama mengharuskan bagi wanita beriktikaf di dalam masjid bersama-sama suaminya.

Makruh bagi perempuan beriktikaf di masjid umum yang didirikan solat jemaah. Suami berhak menahan isteri daripada beriktikaf dan mengeluarkannya.

Telah banyak dibincang tentang iktikaf oleh ulama kita dan kitalah yang melakukannya khususnya pada Ramadan ini. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru