Chong Chieng Jen curiga tindakan Petronas adalah gimik politik Abang Jo-Tun M

0
2

KUCHING: “Saya tidak tahu apa yang dibincangkan oleh Abang Jo (Abang Johari Tun Openg) dan Tun M (Tun Mahathir Mohamad)

“Tetapi secara kebetulan, tidak lama selepas pertemuan kedua-duanya, kes ini difailkan (ke Mahkamah Persekutuan),” tegas Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen sebentar tadi dengan wajah dan bahasa badan yang menampakkan kecurigaan.

Ahli Parlimen Stampin itu bagaimanapun tidak berani menuduhnya sebagai satu konspirasi, tetapi kebetulan yang berlaku itu amat ‘mencurigakan’.

“Kedua-duanya tersenyum gembira ketika pertemuan itu dan tiba-tiba ini (kes Petronas) berlaku.

Petronas tegasnya, tidak akan membuat keputusan drastik itu tanpa arahan daripada Tun M.

“Kerana itu saya minta Kerajaan Negeri bertindak ‘serius’ dalam hal ini, jangan jadikan ia sebagai ‘gimik politik’.

“Malah Abang Johari harus bertegas kerana sebelum ini beliau berulang kali mengatakan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 tidak relevan, malah tidak terpakai di Sarawak,” tambahnya lagi.

Desaknya, jika pentadbiran Abang Johari serius untuk menangani kes ini, pasukan perundangannya perlu bertindak melawan sekarang, bukannya menunggu 12 Jun kelak.

“Tiba masanya untuk menyelesaikan isu ini kerana ia membabitkan hak negeri,” tambahnya lagi.

Chieng Jen ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Operasi Penguatkuasaan Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Kuching Sentral sebentar tadi.

Semalam lebih 50 peguam dari negeri ini mengadakan pertemuan dengan Abang Johari dan mengemukakan kesediaan untuk bersama-samanya dan Kerajaan Negeri dalam menghadapi kes semakan Petronas tersebut.

Mereka mengetepikan perbezaan ideologi dan melakukannya secara percuma atau pro bono. –Sarawakvoice