Monday, August 15, 2022

Zahid nafi berjumpa Abang Jo dan rayu PBB tidak tinggalkan BN

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan laporan sebuah portal hari ini bahawa beliau bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

Dalam muat naik status terbaharunya, beliau malah menafi merayu agar Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) agar tidak meninggalkan BN, seperti yang dilaporkan.

“Laporan mengenai PBB Sarawak yang diberitakan telah meninggalkan BN adalah di luar pengetahuan saya.

“Malah saya tidak bertemu dengan Ketua Menteri seperti yang dilaporkan.

Katanya, beliau bagaimanapun amat menghormati dan mengalu-alukan pendirian PBB dan parti-parti komponen BN Sarawak yang berhasrat menjalin hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

“BN sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN untuk mengambil langkah yang sama demi kepentingan negeri dan rakyat.

Katanya, dengan kenyataan ini, beliau berharap tidak ada pihak yang melaporkan berita secara “serkap jarang” dan “kurang profesional”.

Dalam laporannya, portal tersebut menyebut tentang Abang Johari berjumpa dengan Zahid pada 31 Mei, selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memaklumkan keinginan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Dalam pertemuan dengan Zahid selepas itu, portal tersebut menyebut Abang Johari menyatakan pendiriannya, lalu dipujuk oleh Zahid yang mengatakan Barisan Nasional akan “hancur” sekiranya parti PBB menarik diri.

PBB mempunyai 13 kerusi dalam Parlimen Malaysia, manakala gabungannya dengan komponen BN Sarawak lain membentuk 19 kerusi.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Zahid mengesahkan pertemuan tersebut tidak berlaku. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru