Thursday, May 19, 2022

Minyak dan gas Sarawak: Agi idup agi ngelaban

Secara Rawak

Dalam apa-apa keadaan pun, Sarawak, dan juga Sabah perlu mempertahankan hak berkaitan sumber minyak dan gasnya.

Sekarang, tidak ada jalan lain, kecuali kembali ke mahkamah. Bukankah itu jalan yang dipilih oleh Petronas?

Inilah peluang terbaik untuk kerajaan negeri Sarawak pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mencabar kuasa Petronas dari segi pemilikan hak untuk menerokai minyak dan gas di negeri ini.

Mereka perlu menggunakan segala hal dan dalil di mahkamah nanti.

Ini tentunya termasuk bukti dan dokumen hasil kajian rombongan yang dihantar ke Arkib Nasional, London pada tahun lepas.

Dan, anak-anak Sarawak perlu berdiri teguh tanpa berbelah bahagi di belakang beliau walau apa-apapun pendirian politik.

Ini bukannya untuk menyalahkan keputusan yang dibuat oleh ahli parlimen Sarawak pada awal 1970-an tentang Akta Pembangunan Petroleum.

Wajarkah kita membuat penghakiman moral dan nilai? Sesuatu keputusan dibuat pada satu-satu zaman, sesuai dengan kehendak dan aspirasi zaman tersebut.

Langkah menghimpunkan otak terbaik daripada kalangan peguam di Sarawak pada petang ini untuk mendapat idea dan strategi terbaik menangani isu ini adalah tepat.

Kepentingan dan masa depan Sarawak perlu diletakkan di atas segala-galanya. Masa untuk menuding jari atau cuba mencari kesalahan orang lain seperti yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin Pakatan Harapan, perlu dihentikan.

Perbuatan demikian tidak akan membawa kita ke mana-mana. Ini ialah masa untuk memeprlihatkan kesatuan dan solidariti.

Kes ini merupakan perjuangan yang bakal menentukan sama ada syarikat minyat nasional itu dapat terus menerokai sumber itu di negeri ini atau tidak.

Memang dikesali, Petronas memilih jalan ini hanya selepas Pakatan Harapan menang pada 9 Mei lalu.

Sudah pasti tindakan ini diambil dengan restu kepemimpinan tertinggi kerajaan.

Syarikat minyak dan gas nasional, Petronas pada Isnin memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Petronas berkata, ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum, serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.

“Petronas percaya penentuan oleh Mahkamah Persekutuan akan membantu memberikan kejelasan mengenai hak dan kedudukannya di bawah PDA,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Petronas kekal komited untuk menyokong aspirasi Sarawak menyertai dalam industri minyak dan gas di negeri itu, selagi ia berada dalam rangka kerja PDA.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan kes ini.

Semangat lawan tetap lawan, perlu wujud dalam kalangan kerajaan Sarawak dan 2.7 juta rakyatnya bagi memastikan hak dan sumber Sarawak kembali kepadanya.

Demi masa depan dan pembangunan Sarawak.
Jika perlu, kerajaan Sarawak wajar membawa kes ini ke mahkamah antarabangsa.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi biar basah.

Agik idup agik ngelaban. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru