Wednesday, December 7, 2022

Tazkirah Ramadan: Mari hidupkan malam istimewa 10 akhir Ramadan

Secara Rawak

MASIH tidak ramai umat Islam menyedari untuk menghidupkan malam 10 akhir Ramadan, sekalipun terdapat teladan daripada Nabi SAW menghidupkan malam istimewa itu.

Dalam kitab sahih Bukhari dan Muslim, Aisyah, berkata: “Apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, Rasulullah SAW mengikat kainnya menjauhkan diri dari menggauli isterinya, menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya. ” (maksud hadis riwayat Bukhari).

Lafaz Muslim pula berbunyi: “Menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya, dan bersungguh-sungguh serta mengencangkan kainnya.”

Dalam riwayat lain, Imam Muslim meriwayatkan daripada Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh pada 10 hari akhir Ramadan, perkara tidak baginda lakukan pada bulan yang lainnya.”

Nabi SAW menghidupkan malannya dengan qiyamullail.

Kemungkinan baginda menghidupkan seluruh malamnya dan kemungkinan pula baginda menghidupkan sebahagian besar daripadanya.

Dalam Sahih Muslim, Aisyah berkata: “Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah SAW solat malam hingga pagi.”

Diriwayatkan dalam hadis marfu’ daripada Abu Ja’far Muhammad bin Ali: “Barangsiapa mendapati Ramadan dalam keadaan sihat dan sebagai Muslim, lalu puasa pada siang harinya dan melakukan solat pada sebagian malamnya, juga menundukkan pandangannya, menjaga kemaluan, lisan dan tangannya serta menjaga solatnya secara berjemaah dan bersegera berangkat untuk solat Jumaat sungguh dia telah puasa sebulan penuh, menerima pahala sempurna, mendapatkan Lailatul Qadar serta beruntung dengan hadiah daripada Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi.” Abu Ja’far berkata: “Hadiah tidak serupa dengan hadiah penguasa.” (maksud hadis riwayat Ibnu Abid-Dunya).

Dan dalam hadis sahih diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengetuk pintu Fatimah dan Ali pada suatu malam seraya berkata: “Tidakkah kamu bangun lalu mendirikan solat ?” (maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda juga membangunkan Aisyah pada malam hari, apabila selesai dari tahajudnya dan ingin melakukan (solat) witir. Diriwayatkan adanya dorongan agar salah seorang suami-isteri membangunkan yang lain untuk melakukan solat, serta memercikkan air di wajahnya bila tidak bangun”. (maksud hadis riwayat Abu Daud)

Nabi SAW melakukan itikaf pada 10 hari terakhir yang di dalamnya dicari Lailatul Qadar untuk menghentikan pelbagai kesibukannya dan untuk mengasingkan diri demi bermunajat kepada Allah SWT, berzikir dan berdoa kepada-Nya.

Mengasingkan diri yang disyariatkan kepada umat ini iaitu dengan itikaf di dalam masjid, khususnya pada Ramadan dan lebih khusus lagi pada 10 hari terakhir Ramadan.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Aisyah: “Rasulullah SAW pada Ramadan seperti biasa tidur dan bangun. Dan manakala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari menggauli isteri-isterinya, serta mandi antara Maghrib dan Isyak.”

Ibnu Jarir berkata, mereka menyukai mandi pada setiap malam dari malam 10 hari terakhir.
Di antara mereka ada mandi dan menggunakan wewangian pada malam yang paling diharapkan turun Lailatul Qadar.

Oleh kerana itu, dianjurkan pada malam yang diharapkan berlakunya Lailatul Qadar untuk membersihkan diri, menggunakan wewangian dan berhias dengan mandi sebelumnya dan berpakaian bagus, seperti dianjurkannya hal tersebut pada waktu solat Jumaat dan hari raya.

Pada hari-hari baki Ramadan ini, marilah kita raikannya dengan meningkatkan amalan peribadi kita untuk mendekatkan diri pada Allah SWT.

Lihatlah riwayat memaklumkan kepada kita tentang apa dilakukan oleh Nabi SAW, sepatutnya kita jadikan teladani

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru