KUALA LUMPUR: Syarikat petroleum nasional negara, Petronas sebentar tadi mengumumkan bahawa pihaknya sedang memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan deklarasi berhubung Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang yang terpakai dalam industri petroleum di Malaysia.
Syarikat itu juga mahukan penjelasan bahawa Petronas merupakan pemilik eksklusif sumber petroleum selain mengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.
Dalam kenyataan media sebentar tadi, Petronas percaya bahawa deklarasi tersebut akan membantu memperjelas hak dan kedudukan syarikat itu di bawah PDA.
Petronas bagaimanapun meneguhkan komitmennya untuk terus menyokong aspirasi Sarawak untuk terlibat dalam industri minyak dan gas di negeri itu, asalkan ia berada dalam kerangka PDA. — Sarawakvoice