Friday, October 7, 2022

Daim: Apakah kredibiliti yang ada pada BN?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata, bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berkesan, ia perlu memiliki kredibiliti.

“Pada ketika ini, apakah kredibiliti yang ada pada Barisan? Jika anda tidak punya kredibiliti, susah bagi rakyat percaya,”’ katanya mengenai BN yang kini sudah menjadi pembangkang.

Beliau berkata demikian dalam temu bual yang disiarkan dalam The Star hari ini.

BN hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Hingga ke hari ini, tidak ada permohonan maaf daripada pemimpin UMNO,” katanya.

Pencuri wang 1MDB masih lagi menafikannya, mendakwa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan,” ujarnya lagi.

“Dapatkah UMNO bergantung kepada Sayap Pemuda untuk mempercepat proses reformasi? Ia sukar, kerana sayap Pemuda, termasuk Ketua Pemuda mempertahankan 1MDB sebelum ini,” kata bekas Menteri Kewangan itu.

Tambah Daim lagi, jika mereka telah membaca laporan Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) Syarikat, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) dan Laporan Ketua Audit Negara, tetapi mereka masih lagi menyokong jenayah yang dilakukan, maka mereka tidak dapat menjadi suri teladan bagi golongan belia di negara ini.

“Mereka tidak menunjukkan kekesalan. Saya ragu mereka dapat merampas balik kerajaan dengan pemimpin yang sedia ada,” katanya lagi.

Beliau mengakui, bagi kemungkinkan wujudnya demokrasi yang cergas, pembangkang yang kuat amat diperlukan.

“Jika UMNO menyedari hal ini dan melakukan perubahan yang diperlukan, maka itulah peranan mereka,” tambahnya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru