Wednesday, December 7, 2022

Tazkirah Ramadan: Dengan qiyam Ramadan, mohon terampun dosa kecil, diringankan dosa besar

Secara Rawak

APAKAH maksud qiyam pada Ramadan?

Makna qiyam Ramadan ialah menghidupkan malam pada Ramadan dengan melakukan ibadah dan solat.

Ganjaran bagi yang melakukan qiyam Ramadan ialah mereka dijanjikan ampunan dosa kecil berkaitan hak Allah.

Selain dosa kecil, diharapkan dosa besarnya juga dapat diringankan.

Dari Aisyah RA, dia berkata: “Suatu malam pada Ramadan, Nabi SAW melakukan solat di masjid bersama beberapa orang. Kemudian baginda melakukannya lagi pada malam kedua lalu berkumpullah orang dalam jumlah yang lebih ramai dari malam pertama.

Maka tatkala pada malam ketiga dan keempat, penuhlah masjid oleh manusia hingga menjadi sesak. Oleh kerana itu, baginda tidak keluar menemui mereka. Orang memanggil baginda, lalu baginda berkata: “Ketahuilah, perkara yang kamu lakukan itu tidaklah tersembunyi bagiku (pahala), akan tetapi aku khuatir akan dicatat sebagai kewajiban bagi kamu nantinya.”

Dalam hadis riwayat al-Bukhari terdapat tambahan, “Lalu Rasulullah SAW pun wafat dan keadaannya tetap seperti itu (tidak dilakukan secara berjemaah di masjid).” (maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam an-Nasa’i mengeluarkan dari jalur Yunus bin Yazid, dari az-Zuhri dengan redaksi “Jazm” (pasti) bahawa malam ketik Rasulullah SAW tidak keluar tersebut adalah malam keempat.”

Allah Ta’ala berfirman, “Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam.” (maksud adz-Dzaariyaat: 17).

Dalam hadis Nabi SAW bersabda, “Hendaklah kamu melakukan qiyamullail, sebab ia tradisi orang solih sebelum kamu, dekatkan diri kepada rab kamu, penebus dosa (kecil) dan pencegah dari melakukan dosa.” (maksud hadis riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan al-Hakim)

Abdullah bin Sallam menyatakan Nabi SAW bersabda: “Tebarkanlah salam, berilah makanan, sambung tali persaudaraan dan solatlah pada malam hari ketika manusia sedang nyenyak tidur; pasti kamu masuk syurga dengan penuh kedamaian.” (maksud hadis riwayat Tirmizi)

Hadis tersebut menunjukkan keutamaan Qiyam Ramadan, bahawa ia sangat dianjurkan, demikian pula dengan solat Tarawih berjemaah di masjid.

Dahulu pada masa Nabi SAW, para sahabat melakukannya di masjid secara terpisah-pisah, dalam beberapa kelompok berbeza dan perkara itu dilakukan atas pengetahuan baginda SAW dan atas persetujuan baginda.

Berdasarkan banyak hadis, solat Tarawih lebih baik dikerjakan secara berjemaah daripada secara sendirian.

Anjuran ini merupakan ijmak para sahabat dan seluruh penduduk negeri Islam serta pendapat jumhur ulama. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru