Sunday, November 27, 2022

Tazkirah Ramadan: Ramadan bulan sedekah

Secara Rawak

MENJADI amalan baik sepanjang Ramadan, bahawa umat Islam membudayakan sedekah dalam kehidupan mereka.

Alangkah baiknya kalau amalan ini terus dikekalkan sepanjang tahun. Saranan amat tepat dengan hal yang Allah sebutkan dalam al-Quran iaitu agar segera memanfaatkan rezeki yang Allah berikan, sebelum rezeki yang banyak itu tidak memberi apa-apa keuntungan kepada pemiliknya.

“Hai orang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat.” (maksud al-Baqarah: 254)

Lihatlah perjalanan hidup manusia yang telah menghabiskan banyak wang untuk kehidupan dirinya saja, dalam keadaan maklum bahawa ada orang yang hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Dan perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.” (maksud al-Baqarah: 265)

Sesetengah orang melihat sedekah ini suatu yang tidak wajar. Alasannya kerana kononnya harta yang ada itu merupakan hasil usaha gigih mereka.

“Sejak pagi setiap anggota salah seorang di antara kamu menjadi sedekah. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil dalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh melakukan kebaikan adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah, dan memadai daripada yang demikian itu oleh dua rakaat solat sunat Dhuha yang didirikan.” (maksud hadis riwayat Muslim)

Maka oleh itu Allah menyatakan dalan al-Quran: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir, 100 biji. Allah melipat ganda (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (maksud al-Baqarah: 261)

“Syaitan menjanjikan (menakut) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kunia (yang lebih baik). Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (maksud al-Baqarah: 268)

Itulah firman Allah SWT yang memberi rezeki kepada kita. –Sarawakvvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru