Perangi rasuah: Lim Kit Siang saran Pelan Integriti Nasional

KUALA LUMPUR:  Bagi mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global kepada negara berintegriti tinggi dalam tempoh 10 tahun, Lim Kit Siang hari ini menyarankan pembentukan pelan integriti nasional untuk memerangi rasuah.

Malaysia baharu,  menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, memerlukan pelan integriti nasional yang akan  memastikan peningkatan kukuh terhadap prestasi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)  pada tahun-tahun akan datang.

Jelas Lim,  dalam CPI 2017, Malaysia berada di kedudukan terburuknya dalam tempoh 23 tahun, jatuh ke tangga 62 daripada 180 negara.

Di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN), negara terjebak dalam pelbagai skandal rasuah dan salah guna kuasa.

Ia merupakan antara faktor yang menyebabkan Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN yang telah memerintah selama 61 tahun, dalam pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu.

Ujar pemimpin politik veteran itu, pelan  berkenaan perlu dibahaskan dan diterima pakai oleh Parlimen.

Lim berharap  melalui pelan integriti nasional yang baharu itu, hasilnya dapat dilihat dalam tempoh setahun melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan Transparency International (TI).

Katanya,  bagi membolehkan Malaysia memperbaiki diri, maka ia mesti menyiasat hingga ke akar  umbi skandal 1MDB dan skandal rasuah utama yang lain.

“Lebih penting lagi, kita mesti memperkenalkan pembaharuan struktur dan institusi serta perubahan minda dalam seluruh masyarakat supaya kita mempunyai toleransi sifar terhadap rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. — Sarawakvoice