Tiada ancaman Ebola di Sarawak  — Pengarah Kesihatan

Pemakaian sut penuh hanya sebagai langkah berjaga-jaga, bukan cetus panik

KUCHING: Tiada ancaman wabak Ebola di Sarawak. Itu penjelasan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim sebentar tadi.

Menurutnya, daripada semakan terhadap suspek, seorang lelaki Iban, berusia 47 tahun dari Kapit, didapati tanda-tanda yang ditunjukkan dan juga sejarah  lain pesakit tersebut tidak menjurus kepada tanda-tanda Ebola.

“Sebaliknya, suspek berhadapan tanda-tanda  jangkitan yang memberi kesan kepada saraf otak.

Katanya, suspek masih tidak sedarkan diri dan terpaksa menggunakan alat sokongan pernafasan.

“Kekhuatiran dan panik itu wujud apabila pihak hospital dimaklumkan bahawa suspek baharu pulang bertugas dari Republik Congo di Afrika, yang tiga zonnya diketahui berhadapan ancaman wabak tersebut.

“Justeru itu, sebagai langkah berjaga-jaga para petugas yang terlibat terpaksa menggunakan sut khas ketika melakukan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Bazar Ramadan Medan Niaga Satok sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun masih menghantar ujian-ujian klinikal untuk mengenal pasti apakah jenis kuman yang menjangkiti mangsa terbabit.

Mengulas tinjauannya terhadap Bazar Ramadan, Dr Jamilah memberitahu ia adalah rutin jabatannya untuk melakukan pemeriksaan di setiap Bazar Ramadan bagi menentukan tahap kebersihan dipatuhi.

“Sepanjang dua minggu kita berpuasa, pihak kami telah melaksanakan 1,911 pemeriksaan terhadap premis makanan dan pembekal ais.

“Daripada jumlah itu, 128 kompaun dikeluarkan terhadap peniaga makanan manakala dua kompaun lagi terhadap pembekal ais, kerana melanggar peraturan kebersihan,” katanya lagi. — Sarawakvoice