Wednesday, December 7, 2022

Tazkirah Ramadan: Manfaat puasa menurut ilmu sains moden

Secara Rawak

SETIAP suruhan dan larangan Allah mengandungi 1001 hikmah buat manusia.
Bermula dengan penciptaan alam, manusia diamanahkan oleh Allah untuk memakmurkan bumi ini dengan pelaksanaan syariat-Nya.

Diwajibkan ke atas manusia khususnya umat Islam agar mengimani kesemua rukun Iman dan melaksanakan Rukun Islam.

Sesungguhnya ilmu sains dapat memberikan pengetahuan mendalam dan seterusnya memantapkan lagi keimanan terhadap Allah bagi mereka yang mengetahui dan mempelajarinya.

Semua pakar perubatan bersetuju menyatakan bahawa organ perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit.

Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit.

Ini kerana melaluinya unsur-unsur racun di dalam makanan dapat dineutralkan.
Sesungguhnya kesan lapar di dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan.

Seorang pakar Barat menyatakan setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit.

Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun yang terkumpul di dalamnya.
Berpuasa memberi peluang kepada organ di dalam tubuh badan untuk memperbetul semula sistem penghadaman.

Didapati bahawa punca berlakunya penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan.

Ini menyebabkan sistem yang bertindak mengawal badan terpaksa bekerja lebih kuat bagi mengimbangi keseluruhan pergerakan badan.

Seterusnya penyakit seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah amat mudah menyerang dan melemahkan kekuatan badan individu tersebut.

Sesungguhnya tiada ubat yang khusus bagi memulihkannya melainkan dengan berpuasa kerana dengannya wujudlah satu sistem yang baru dalam badan yang bertindak mematikan sel lama untuk digantikan dengan sel baru yang lebih baik dan bertenaga.

Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah terutama puasa Ramadan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki.

Jika ia diteruskan dengan pelaksanaan puasa sunat seperti berpuasa enam hari pada Syawal, Isnin dan Khamis nescaya terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun.

Pakar perubatan Islam membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan untuk menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan sebagaimana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang.

Daripada sudut kesuburan seorang wanita, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan.

Kesimpulannya puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelak penyakit seperti kencing manis dan kegemukan.

Selain itu dari sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan. Secara tidak langsung, amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ di dalam badan.

Maka secara keseluruhannya, puasa dapat mengawal dan mendidik tubuh badan untuk mengambil makanan yang diperlukan sahaja.

Ia seterusnya melambatkan proses penuaan, membantu proses perkumuhan, menyingkirkan racun di dalam badan dan menambahkan rasa nikmat makanan setelah berjaya menahan diri dari makan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru