Friday, October 7, 2022

Pelajar wanita ditemui mati dengan kesan jerut di leher

Secara Rawak

PORT DICKSON: Bernama melaporkan seorang pelajar wanita Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) di sini ditemui mati dengan kesan jerut pada leher dipercayai dibunuh, dekat kawasan semak di Taman PD Permata di sini, kira-kira 10.30 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Mohd Faisal Mohd Noor, berkata sepasukan anggota forensik polis segera ke lokasi sebaik menerima panggilan mengenai mangsa, Nuralya Damia Mohd Hairi, 19, berasal dari Klang, Selangor.

“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan polis menemui kesan jerut pada leher mangsa dan penuntut Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian tahun akhir itu dipercayai dibunuh.

Susulan itu, kata agensi berita itu lagi, polis menahan seorang pelajar lelaki dari kolej berkenaan yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh di dalam kereta suspek,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. –Sarawakvoice

Foto: Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru