Tuesday, September 27, 2022

Tuduhan Shukri  saya pengkhianat, amat berat, kata Dzulkifli

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyifatkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdul yang menyifatkan beliau sebagai ‘pengkhianat negara’ sebagai tuduhan yang amat berat.

“Sesungguhnya  saya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai ‘pengkhianat negara’,” katanya, dalam kenyataan semalam.

Menurut Dzulkifli, sepanjang tempoh hampir 25 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam Malaysia, beliau telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen yang tinggi.

Dzulkifli berkata Mohd Shukri telah menghubunginya dan memohon maaf atas kenyataan tersebut.

“Saya amat terharu dan ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri (Mohd) Shukri telah menghubungi saya pada pagi ini melalui WhatsApp dan sebagai seorang yang berjiwa besar, beliau telah memohon maaf kepada saya di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap diri saya dalam sidang media semalam,” katanya dalam kenyataan itu.

“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau dan kami berdua menyifatkan bahawa isu ini telah pun selesai,” katanya lagi.

Mohd Shukri dalam sidang media pertamanya  di Putrajaya kelmarin selepas dilantik ke jawatan itu, memaklumkan beliau memohon untuk bersara awal pada 2016 dengan alasan mahu menyambung pengajian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah Dzulkifli yang dianggapnya pengkhianat negara.

Katanya lagi, Dzulkifli kurang berintegriti dalam menjalankan siasatan berhubung skandal RM2.6 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sidang media Shukri yang turut mendapat perhatian media antarabangsa, mendedahkan pelbagai perkara  dan pengalaman beliau yang menggemparkan sepanjang penyiasatan kes 1MDB. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru