Friday, October 7, 2022

Projek Lebuh Raya Pan Borneo ikut prosedur, tiada penyelewengan — Fadillah

Secara Rawak

KUCHING: Tidak benar ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusof kononnya melarikan diri dikaitkan dengan isu projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak seperti tersebar di media sosial.

Mantan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga merupakan adik Bustari, dalam kenyataan seperti disiarkan Utusan Borneo pada Khamis mengesahkan pemilik syarikat Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) itu masih berada di dalam negara.

LBU ialah syarikat Rakan Pelaksana Projek (PDP) dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dalam kenyataan beliau kepada akhbar tersebut menganggap ada pihak cuba mewujudkan sentimen dengan menyebar fitnah tersebut.

Bustari difitnah secara liar di media sosial mengambil RM4 bilion daripada Kementerian Kewangan dan dikatakan tidak membayar kontraktor dan subkontraktor projek terbabit.

Menurut laporan akhbar berkenaan, Fadillah mengaku sepengetahuan beliau, setakat April lepas, bagi sektor Telok Melano-Sematan, sebanyak RM2.54 bilion sudah dibayar kepada kontraktor mengikut terma pembayaran.

Beliau turut memperjelas bahawa peruntukan RM27 bilion adalah untuk membina keseluruhan Projek Lebuh Raya Pan-Borneo meliputi 936 kilometer di Sarawak dan 727 kilometer di Sabah.

Manakala, syarikat Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) dilantik melaksanakan projek berkenaan di Sarawak sahaja.

Fadillah menafikan terjadi salah laku berkaitan projek Pan Borneo, kerana menurut beliau projek berskala besar di Malaysia perlu melalui proses semakan yang betul sehingga melibatkan Jemaah Menteri.

Memperjelas kepada Utusan Borneo, Fadillah berkata Kementerian Kerja Raya hanya bertindak sebagai pemeriksa memantau pematuhan dalam proses pelaksanaan projek terbabit.

Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya tidak memainkan peranan dalam memutuskan projek berkenaan dan ia dipantau jawatankuasa berasingan di peringkat Persekutuan dan pada peringkat Kerajaan Negeri.

Sementara, menurut Fadillah bayaran kepada kontraktor dan PDP dibayar oleh Kementerian Kewangan bukannya oleh Kementerian Kerja Raya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru