Saturday, October 8, 2022

Sarawak gigit jari kepada JDTII di ‘laman sendiri’

Secara Rawak

KUCHING: Hasrat skuad ‘Ngap Sayot’ Sarawak untuk meraih tiga mata terbantut selepas tersungkur 2-0 di ‘halaman sendiri’ ketika melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada saingan kempen Liga Premier 2018 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang malam tadi.

Ketua Jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillan ketika ditemui menyifatkan kekalahan di tangan pasukan JDT II itu sebagai sesuatu yang menghampakan.

Tuan rumah yang turun tanpa beberapa tonggak utama akibat penggantungan ternyata tempang untuk memberikan aksi cemerlang.

Malah pelawat bijak memanfaatkan peluang untuk mengikat pergerakan Bujang Senang sekali gus menamatkan saingan malam itu dengan kemenangan bergaya menerusi jaringan
Bruno Gabriel Soares pada minit ke-38 dan
Nicolás Fernández pada minit ke-42.

Ian mengakui beberapa kesilapan dilakukan oleh pemainnya yang akhirnya membawa kepada kehilangan mata.

Beliau yakin Sarawak akan bangkit dalam perlawanan seterusnya dengan memperkuat jentera serangan untuk mengharungi baki kempen Liga Premier musim ini.

Perlawanan ‘halaman sendiri’ bagi Sarawak itu terpaksa diadakan di Johor kerana isu teknikal berkaitan lampu limpah di Stadium Negeri yang gagal menepati piawaian peraturan yang ditetapkan Lialibiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah merayu untuk menukar tarikh perlawanan disebabkan masalah terbabit selain berdepan isu padang yang tidak sesuai.

Bagaimanapun rayuan itu ditolak FMLLP, dan atas faktor itu pihak JDT II bersetuju untuk mengadakan pusingan kedua menentang Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru