Friday, October 7, 2022

Kerajaan berazam kembalikan wibawa universiti awam, bentuk masyarakat inklusif

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Kerajaan berazam untuk mengembalikan wibawa universiti awam dan institusi pengajian tinggi bagi melengkapkan sistem pendidikan negara dalam membentuk masyarakat yang inklusif.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata hal tersebut termaktub dalam Janji 50 di bawah Teras Lima, Buku Harapan yang dilancarkan menjelang pilihan raya umum ke-14.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya menyatakan bahawa kerajaan akan melipatgandakan peluang pengajian menggunakan Massive Open Online Courses (MOOC) yang diiktiraf dan mempunyai akreditasi, agar golongan muda dapat menggunakan teknologi moden untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diminati.

Institusi pengajian tinggi, ujarnya, memainkan peranan penting bagi membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Menurut  bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, pihak kementerian akan memastikan idea bernas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia dapat diteruskan, manakala sebarang kelemahan diperbaiki.

“Hajat saya adalah  melaksanakan kajian jangka pertengahan untuk kedua-dua dokumen besar ini bagi membolehkan kita menyemak dan menambah baik apa yang perlu,” katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas majlis serah terima tugas bersama bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, di sini, semalam.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Idris kerana berjaya memacu kementerian sehingga menempa banyak kejayaan di bawah kepemimpinannya.

Beliau berjanji untuk memastikan idea bernas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dapat diteruskan dengan penambahbaikan yang sesuai.

Mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, beliau berkata, akta itu akan digantikan dengan akta baharu yang sesuai.

Dalam manifestonya, Pakatan Harapan berjanji untuk menggantikan AUKU dengan undang-undang komprehensif dan yang lebih baik, yang akan memastikan kualiti pendidikan, serta kebebasan akademik dan kebebasan bersuara, dan berpersatuan terjamin.

Selain itu, ia juga berjanji semua institusi pengajian tinggi awam mempunyai autonomi yang sewajarnya.

Manifesto itu juga berjanji Lembaga Pengarah universiti akan diberi autonomi dan kuasa untuk memilih dan melantik Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor berdasarkan merit dengan cara yang telus dan berdaya saing. –Sarawakvoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru