Friday, October 7, 2022

Bersahurlah, sekalipun dengan seteguk air

Secara Rawak

SALAH satu amalan yang membezakan di antara puasa di dalam Islam dengan puasa lain ialah adanya bersahur pada malam hari berpuasa atau pada Ramadan.

Ini merupakan amalan Nabi SAW. Anjuran bersahur adalah berdasarkan amalan dan suruhan Nabi SAW iaitu sabda baginda: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (maksud hadis riwayat Ibnu Hibban)

Bersahur bukan bermaksud sebagai “bekal” untuk berpuasa esoknya, walaupun ia dilihat dapat memberi tenaga bagi yang berpuasa pada siang harinya.

Bersahur merupakan di antara tanda rahmat Allah untuk manusia beriman.

Sahur atau yang biasa difahami aktiviti utamanya sebagai makan dan minum pada waktu sahur sepanjang Ramadan bagi orang beriman mendapat keberkatan ibadat dan keberkatan hidup kurniaan Allah.

Kredit foto : Hidayatullah.com

Selain disunatkan bersahur, orang berpuasa juga disunat melambatkan waktu bersahur kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat.

Berkaitan perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama Nabi SAW, kemudian kami bangun melakukan solat (Subuh).” Zaid ditanya: “Berapa lama masa antara kedua-duanya (antara makan sahur dengan solat Subuh).” Jawab Zaid, “sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (maksud hadis riwayat Bukhari).

Penekanan Nabi SAW agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat sesuai dengan realiti kehidupan manusia.

Ini kerana sahur seperti menepati masa untuk bersarapan. Kajian dibuat menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan.

Bersarapan penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain.

Kajian mendapati mereka yang tidak bersarapan berisiko menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis.

Kajian lain menunjukkan mereka yang tidak bersarapan menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah.

Keadaan ini menyebabkan penyakit anemia iaitu penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah.

Justeru, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu.

Lebih daripada itu, bersahur merupakan ibadah kerana ia sunah dan waktu sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan.

“Katakanlah, Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa, ada syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka.’ (Merekalah) orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun pada waktu sahur.” (maksud Ali Imran: 15-17) –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru