Wednesday, December 7, 2022

Tazkirah Ramadan: Cari reda Allah pada Ramadan, isi puasa dengan qiyamullail, solat, tilawah, zikir, doa, taubat

Secara Rawak

JARANG difikirkan tentang apakah amalan yang perlu dilakukan oleh orang beriman apabila tibanya Ramadan, bulan penuh keberkatan ini.

Bagi ahli perniagaan, mereka akan memikirkan tentang barangan yang hendak dijual kerana Ramadan menjanjikan keuntungan berganda.

Ahli surau atau masjid akan membincangkan aktivitii yang hendak dilaksanakan bagi memeriahkan masjid dan surau.

Persoalannya, adakah ini sahaja bentuk persiapan yang perlu dilakukan?

Seharusnya, perkara utama yang perlu dipersiapkan ialah fikriah atau pemahaman tentang makna puasa dan keistimewaan puasa.

Kita perlu maklum bahawa berpuasa adalah perintah Allah. Berpuasa juga mendidik diri supaya akur dengan semua peraturan Allah.

Menahan diri daripada melakukan perkara yang harus dan rutin harian seperti makan dan minum, merupakan ajakan agar kita segera beranjak dari paradigma sedia ada.

”Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (maksud al-Baqarah: 183)

Persiapan rohani penting agar Ramadan benar-benar dapat dihayati dengan yakin.

Jamuan berbuka yang kadangkala mengundang pembaziran, atau solat sunat tarawih yang hanya meriah pada hari-hari pertama Ramadan, adalah “kebiasaan” yang perlu diubah agar lebih selari mengikut disaran oleh Nabi SAW.

Berpuasa adalah untuk membiasakan diri dengan peribadi soleh dalam mencari reda Allah semata-mata.

Persiapan selanjutnya ialah dari segi jasadiah atau fizikal. Ini bermakna, orang beriman akan memastikan kesihatan badannya terjaga serta memastikan peluang Ramadan ini dapat dihayati sepenuhnya.

Walaupun Allah mengecualikan orang sakit atau orang yang sedang musafir atau orang tua yang uzur daripada berpuasa, warga beriman lain berusaha sedaya upaya melaksanakan puasa dengan sebaiknya.

Nabi SAW pernah bersabda: “Barangsiapa berpuasa dengan penuh keimanan serta mengharapkan keredaan Allah, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Persiapan harta adalah persiapan penting dan orang beriman sepatutnya mampu menyumbang, sekurang-kurangnya untuk menjamu orang yang berpuasa.

Nilai ganjaran sedekah pada Ramadan sangat istimewa. Di samping itu, ganjaran orang yang membayar zakat amat besar kerana melalui zakat harta yang dibayarnya dapat membebaskan ramai orang daripada kesusahan dan kesempitan.

Ramadan membentuk fikiran yang waras serta menambah ilmu pengetahuan orang yang berpuasa.

Berpuasa mengajak seseorang itu untuk tampil sebagai seseorang yang “baru” dalam masyarakatnya. Dia seolah-olah sedang bersuluk atau memecilkan diri dari kebiasaan yang dilakukan pada masa lain sepanjang tahun.

Berpuasa bukan menjauhkan diri daripada masyarakat. Orang lain makan dan minum, tetapi orang yang berpuasa berlapar dan berdahaga.

Orang lain berehat pada waktu malam, namun orang yang berpuasa bangkit mengharungi malam dengan qiyamullail, solat, tilawah, zikir, doa dan taubat. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru