PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertama kali keluar dari kediamannya di ibu kota selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei.

Tempat pertama dikunjunginya ialah Pekan.

Beliau sudah 42 tahun berkhidmat di daerah ini, tempat bermulanya kerjaya beliau dalam arena politik ketika hanya berusia 23 selepas ayahandanya Tun Abdul Razak meninggal dunia. 

Ketika di sini semalam, beliau meluahkan hatinya  di hadapan para penyokong dan penduduk di sini, kerana katanya, mereka lebih mengenali dirinya.

Jatuh bangun beliau dalam arena politik, para penduduk dan pengundi di sini sentiasa berada di belakangnya.

Ketika berucap di hadapan para penyokongnya di sini semalam, bekas Perdana Menteri berkata, kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 adalah disebabkan penyelewengan fakta yang sebenarnya.

Jelas beliau, menang dan kalah adalah adat pertandingan tetapi hatinya amat ralat kerana kempen memburukkan pemimpin dan janji manis yang tidak mungkin dapat dilaksanakan telah merosakkan sistem demokrasi.

Beliau mengakui menang kalah itu adat pertandingan.

Katanya, bukan soal dasar yang diadili tetapi kempen memburukkan pemimpin dan janji-janji manis yang tidak mungkin dapat dilaksanakan mereka.

“Apa yang kita lakukan iaitu kejayaan Dasar Transformasi Nasional (TN50) telah membuahkan hasil yang tidak dapat disangkal,” katanya seperti dilapor portal umno. 

“Malangnya segala yang kita buat secara positif, kebaikan-kebaikan yang kita telah laksanakan tidak diberi aspirasi yang sepatutnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Mesyuarat Cawangan UMNO dan sayap-sayap bahagian Pekan pada Ahad.

Ujar beliau, kempen yang bersifat terlalu menyerang peribadi dan menabur fitnah kebencian serta janji manis yang sebahagian besarnya jelas tidak akan dapat dilaksanakan telah menyebabkan kekalahan kepada UMNO dan BN.

“Bandingkan apa yang mereka kata waktu berkempen, ekonomi Malaysia buruk, Malaysia ini gagal, negara akan  bankrap, hutang negara bertimbun-timbun, tetapi tiga hari selepas mereka menang, mereka kata ekonomi Malaysia kukuh, rizab kita RM430 bilion,” tegasnya.

“Takkanlah dalam masa tiga hari sahaja negara yang dikatakan menghampiri bankrap boleh menjadi negara yang ekonominya kukuh,” kata Najib lagi.

“Mereka ini ada lampu ajaibkah, lampu aladinkah, gosok-gosok lampu tu dan dalam tiga hari tidak perlu selamatkan Malaysia lagi sedangkan sebelum ini mereka kata perlu selamatkan Malaysia, hari ini ekonomi Malaysia adalah baik dan kukuh yang boleh membawa negara lebih maju lagi,” jelasnya.

Najib seterusnya berkata keluarga beliau juga dijadikan sasaran terutama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang difitnah kononnya mencampuri urusan dan menentukan keputusan dibuatnya.

Sedangkan, menurut Najib, tidak pernah sekali pun beliau mengatakan ‘tunggu dulu, saya perlu tanya isteri’ kerana semua keputusan melibatkan pentadbiran negara atau parti diputuskan pada mesyuarat Kabinet atau pun Majlis Tertinggi parti.

Walaupun sedih dengan kekalahan itu, Najib berkata sebagai seorang mengamalkan prinsip demokrasi beliau menerima keputusan yang dibuat rakyat dan menyerahkan kuasa dengan baik. — Sarawakvoice