Friday, August 19, 2022

Kenapa BN kalah di P. 205 Saratok?

Secara Rawak

Kekalahan Barisan Nasional (BN ) di P. 205 Saratok dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) menyelongkar cerita kepincangan dan ‘menelanjangkan’ gambaran sebenar kepada umum betapa semakin terhakis dan rapuhnya cengkaman (BN) di kawasan yang sering dilabel sebagai kawasan kubu kuat, penyokong tegar dan zon simpanan tetap BN selama ini.

Kawasan Parlimen P. 205 Saratok meliputi kawasan DUN N. 39 Krian, DUN N. 38 Kalaka dan DUN N. 40 Kabong. Pemilih berdaftar untuk kawasan ini berjumlah 30, 517 orang.

Kisah terjemahan perasaan penduduk di kawasan tersebut terhadap BN sememangnya suatu yang tidak terjangka oleh pihak BN yang selama ini terlalu selesa dengan tradisi undi Melayu untuk BN sebagai penyelamat dengan dibantu sokongan oleh sebahagian daripada undi kaum Iban dan Cina yang masih beraliran BN atas fakta calon dan lambang dacing.

Pada 9 Mei, PRU 14 merungkai bagaimana Kawasan N. 39 Krian yang merupakan kubu kuat Ali Biju (PKR) sekali lagi gagal ditawan.

Kemenangan hampir 100 peratus PKR di kawasan ini sememangnya sudah dijangka awal kerana pola sokongan penduduk di kawasan ini tidak banyak berubah. Buktinya selepas tamat proses pengundian dijalankan kawasan ini, Ali Biju/PKR menang bergaya.

Kawasan Krian adalah merupakan kawasan yang masih jauh terkebelakang jika dilihat dari segi kemudahan asas dan prasarana.

Apatah lagi untuk menyaksikan wujudnya bangunan pasar, pejabat dan pembangunan infrasturuktur lain untuk kemudahan penduduk di situ.

Segala urusan penduduk semuanya perlu dilakukan di pekan Saratok yang letaknya agak jauh dan sistem jalan raya di Krian pun masih dalam keadaan yang kurang baik.

Manakala bagi kawasan N. 38 Kalaka, pengundi di kawasan ini lebih cenderung kepada BN.

Malah semasa kempen pun kawasan ini sudah dilabel sebagai kawasan selamat dan BN boleh menang.

Tidak dapat dinafikan penduduk di sekitar pekan Saratok akan memberi undi kepada BN kerana penduduk di sini sudah menikmati banyak kemudahan yang sempurna dan memiliki prasarana yang jauh lebih baik berbanding kawasan Krian dan Kabong. Maka tidak hairan mereka menjadi pendukung setia BN sejak sekian lama.

Amat berbeza sekali dengan nasib penduduk dan pengundi di kawasan N. 40 Kabong.

Kawasan Kabong ( terutamanya undi di kawasan pekan Kabong) adalah ‘undi penentu’ kepada nasib calon BN dan PKR.

Peranan yang dimainkan oleh undi Kabong dengan pusat mengundi tutup jam 5 petang amat besar dan menjadi penentu kemenangan sesebuah parti yang bertanding.

Lantaran itu calon PKR, Ali Biju berada di sekitar Kabong sepanjang hari pengundian sehingga ke proses pengiraan undi dijalankan di SK Abang Leman Kabong hingga jam 6. 45 petang. Berbeza dengan calon BN, Subeng Mula yang tidak menonjolkan diri di kawasan lubuk undi penting itu.

Hasilnya, PRU 14 membuktikan bagaimana berlakunya pertembungan satu lawan satu yang begitu sengit di antara Ali Biju (PKR) dan Subeng Mula (BN) di P.205 Saratok. Jika diibaratkan perlawanan bola sepak pertembungan sengit berlangsung hingga tempoh 90 minit sebelum pemenang dapat ditentukan.

Bukan mudah untuk penduduk ‘durhaka’ kepada BN dan mengambil keputusan ‘berpisah’ setelah sejak 60 tahun lalu menjadi ‘kekasih setia’.Malah ada yang berfikir banyak kali untuk membuat keputusan luar biasa, iaitu tidak memangkah BN.

Tidak terkecuali daripada dapatan penulis dan daripada sumber sahih menyatakan ada yang tidak turun mengundi kerana tidak tergamak untuk tidak memangkah BN. Bayangkan betapa melekat kuat kecintaan terutama warga tua kepada BN.

Namun pada kali ini pertembungan berakhir dengan cerita duka. BN tumbang dan kemenangan memihak kepada Ali Biju yang berjaya memperoleh sebanyak 11, 848 undi.

Manakala, Jagah @ Subeng anak Mula yang merupakan muka baharu ditampilkan oleh Parti Progresif Rakyat (PDP) gagal mengimbangi kekuatan ‘penangan’ Ali.

Subeng tersungkur di gelanggang yang sememangnya lubuk yang amat berbahaya untuk belajar berenang dalam dunia politik apabila akur sekadar memperoleh sebanyak 10, 859 undi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru