Tuesday, June 28, 2022

Chong: Jumlah menteri dari Sarawak tidak penting, yang penting dasar untungkan rakyat

Secara Rawak

KUCHING: Jawatan menteri dalam kabinet persekutuan kerajaan Pakatan Harapan bukan perkara utama.

Sebagai usaha mencari alasan dan justifikasi tiada Ahli Parlimen Pakatan Harapan dilantik sebagai menteri dalam Kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,

Pengerusi PH negeri Chong Chieng Jen berkata, dasar yang memberi manfaat kepada 2.7 juta rakyat Sarawak lebih penting daripada jawatan menteri.

Kenyataan itu dibuat Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin di sebalik ketiadaan menteri dalam kerajaan PH yang diumumkan Tun Mahathir kelmarin.

Pakatan Harapan kini mempunyai 12 Ahli Parlimen manakala Barisan Nasional mempunyai 19 Ahli Parlimen selepas pilihan raya umum lalu.

Menurut Chong, yang lebih penting ialah dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan PH yang membawa manfaat kepada rakyat dan bukannya jumlah menteri dari Sarawak.

Sebelum ini katanya, Sarawak mempunyai banyak menteri dalam kerajaan BN, tetapi adakah ia membawa keadilan kepada rakyat.

Dalam kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak terdapat enam orang menteri dari Sarawak, yang terbanyak dalam sejarah.

“Jumlah menteri tidak penting kerana yang lebih penting ialah dasar kerajaan yang mengutamakan rakyat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, semalam seperti dipetik media tempatan.

Chong berkata, tumpuan harus diberi kepada dasar.

“Sama ada saya gembira atau tidak gembira tidak dilantik jawatan menteri itu perkara kedua,” kata Chong, sambil menegaskan yang penting ialah dasar yang mengutamakan rakyat.

Beliau berkata, saiz kabinet yang kecil di bawah PH dapat mengurangkan kos perbelanjaan.

Penganalisis politik percaya Tun Mahathir akan melantik menteri atau timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak dalam pengumuman seterusnya nanti bagi menunjukkan dasar keterangkuman dan sesuai dengan sistem federalisme yang diamalkan di negara ini. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru