Tuesday, September 27, 2022

Lelaki derita 60 minit di dalam hutan Tanjung Batu malam tadi

Secara Rawak

BINTULU: Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan hampir sejam di dalam hutan kerana tidak dapat berjalan akibat terseliuh sebelum dibawa keluar pasukan penyelamat sekitar jam 7 malam tadi.

Walter Raynard, 29 tahun, sebelum itu dikatakan melakukan aktiviti treking di Jungle Track Tanjung Batu bersama-sama dua saudaranya.

Difahamkan mangsa telah masuk ke dalam hutan sejauh satu kilometer dari jalan utama sekitar jam 5 petang sebelum kakinya terseliuh.

Mangsa cuba untuk bangun dan berjalan keluar dari lokasi sambil dibantu kakak dan anak saudaranya namun gagal.

Buntu akan penyelesaian itu, kakaknya tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan mangsa di hutan untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya menerima laporan kejadian itu pada jam 5.37 petang sebelum bergerak ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa masih tidak dapat berjalan akibat kecederaan pada kaki kirinya.

“Kami memberikan rawatan awal kepada mangsa sebaik tiba di lokasi sebelum mengusung keluar mangsa dari hutan terbabit,” katanya.

Lelaki berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru