Monday, August 8, 2022

Pandu lawan arus, warga emas maut dirempuh Nissan Navara di Sibu

Secara Rawak

SIBU: Seorang warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 12, Jalan Tunku Abdul Rahman dekat sini sekitar jam 11.50 pagi tadi.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Iswara dan sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara yang dipandu mangsa sedang bergerak menentang arus dari arah Sibujaya menuju Pusat Bandar Sibu.

“Pada masa yang sama, pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki Cina berusia 54 tahun sedang bergerak bertentangan di jalan lurus yang sama dan gagal mengelak kehadiran kereta tersebut.

“Ini menyebabkan pertembungan berlaku.

Akibat pertembungan tersebut, mangsa mengalami cedera parah, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Sibu.

Mangsa yang maut kata Alexson, kemudian dikenal pasti sebagai Kong Mok Nam, 80 tahun.

Kes kini masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pihak bomba dan penyelamat Sibu menerima laporan kejadian sekitar jam 11.51 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya kemudian mengatur gerak sebuah jentera FRT, sebuah ambulans EMRS dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu ke lokasi.

“Seorang mangsa yang memandu kereta Proton Iswara telah tersepit dan disahkan meninggal dunia.

“Pasukan kemudian bertindak mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru