Tuesday, September 27, 2022

Pasangan miliki  dadah bernilai RM43,000 dicekup di Jalan Abell

Secara Rawak

KUCHING: Dua individu dipercayai ‘tokan’ dadah dicekup dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Abell dekat sini, sekitar jam 11 pagi semalam. 

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintenden Sahar Abdul Latif berkata, suspek seorang lelaki dan seorang wanita itu masing-masing berusia 33 dan 22 tahun dari Kuching dan Bintulu. 

“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota JSJN Sarawak telah menahan kedua-duanya di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Abell,” katanya. 

Pemeriksaan awal polis lanjutnya, kemudian menjumpai beg berwarna hitam jenama Polo mengandungi satu paket lut sinar yang mengandungi pil disyaki ekstasi. 

“Pemeriksaan seterusnya ke atas beg tangan jenama DKNY yang diletak di atas meja mendapati di dalamnya terdapat satu dompet berwarna biru, yang mengandungi keratan penyedut berisi hablur putih, disyaki dadah jenis Ketamin. 

“Selain itu, polis turut menjumpai 80 paket lut sinar yang mengandungi ketulan kristal, disyaki dadah jenis Syabu.

Turut ditemui kata Sahar, lapan paket plastik mengandungi hablur putih disyaki ketamin serta alat penimbang digital dalam sebuah peti besi di dalam bilik tersebut. 

Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM43,180. 

Turut dirampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan anggaran nilai RM70,000 serta wang tunai berjumlah RM2,642.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif dalam pengedaran dadah bermula pada awal tahun 2018. 

“Saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methapethamine/Amphetamine. 

Pemeriksaan lanjut mendapati suspek lelaki tersebut memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah serta pernah dipenjara kerana kesalahan jenayah pada 2007 dan 2016.

Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek telah dibuat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. –Sarawavoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru