Sunday, September 25, 2022

Andaian PBB sertai Kerajaan PH mengarut!

Abdullah Saidol persoal keterujaan dan tuduhan liar Chong Chieng Jen

Secara Rawak

KUCHING: Andaian Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa Parti Bumiputera Bersatu (PBB) akan menyertai Pakatan Harapan (PH), seperti yang dipetiknya daripada media sosial adalah mengarut. 

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Abdullah Saidol sebaliknya hairan kenapa Chieng Jen “begitu teruja” dan mungkin menunjukkan “reaksi tergugat” dengan khabar angin tersebut. 

Mengulas kenyataan Chieng Jen semalam yang mahu ahli politik korup di Sarawak disiasat, Abdullah menempelak pemimpin PH Sarawak itu agar menyiasat pemimpin tertinggi mereka sendiri. 

“Jangan jadi hipokrit dan ‘double standard’ berhubung perkara itu. 

“Pemimpin inilah yang mereka tentang, kritik dan cemuh dengan bersungguh-sungguh tanpa henti sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri dahulu. 

“Tetapi secara tiba-tiba, pemimpin ini jugalah menjadi pujaan mereka dan diangkat sebagai hero negara,” katanya. 

DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tegasnya, tiba-tiba lupa akan pelbagai tuduhan rasuah dan salah laku yang mereka lemparkan terhadap beberapa pemimpin yang sebelum ini merupakan musuh mereka. 

“Mungkin amalan mereka ialah sesiapa yang menyertai PH akan dimaafkan serta dikecualikan daripada sebarang tindakan undang-undang. 

Abdullah berkata, Chieng Jen turut menyentuh tentang perjuangan DAP dalam isu-isu integriti, dan mencadangkan supaya mereka yang ingin menyertai PH mesti melalui proses saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

“Menariknya, fakta sebenar adalah semua calon PH tidak pernah dirujuk atau diproses oleh SPRM sebelum bertanding dalam pilihan raya umum baru-baru ini. 

Menurutnya, PBB merupakan parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) yang telah dipilih melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 pada dua tahun lalu untuk mentadbir Kerajaan Negeri Sarawak. 

“PBB, juga seperti komponen BN Sarawak yang lain telah melalui perjalanan sejarah serta proses kematangan politik, dengan terlibat secara langsung dalam evolusi permodenan Sarawak yang seluas Semenanjung Malaysia. 

Justeru itu, kata Abdullah, PBB akan mempertahankan integriti serta maruah perjuangan politiknya  dan tidak sesekali akan bertindak seperti ‘katak’ (lompat parti). 

“PBB tidak terdesak kerana kami dalam BN Sarawak secara amnya tahu di mana letaknya kekuatan serta kelebihan kami di Sarawak. 

“BN Sarawak sentiasa menghargai demokrasi iaitu bersetuju meskipun kadang-kadang tidak sependapat. 

“Hal ini kerana kami (BN Sarawak) juga menghormati pilihan majoriti rakyat dalam pilihan raya baru-baru ini, dan dengan perasaan yang terbuka dan berazam untuk bekerja dengan lebih kuat lagi demi kepentingan semua lapisan masyarakat terutama sekali di Sarawak,” ujarnya. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tegasnya, juga telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu di peringkat persekutuan. 

“Kerajaan Negeri akan pastikan kerjasama ini berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan menjejaskan hak serta kepentingan negeri. 

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri juga memantau dengan teliti akan perkembangan serta usaha Kerajaan Persekutuan yang ditadbir PH agar dapat menunaikan janji-janji kempen dan manifesto mereka, terutama melibatkan kepentingan Sarawak. 

“Adalah diingatkan Kerajaan Negeri yang diketuai Abang Johari akan terus menuntut hak serta kepentingan negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. 

“Kerajaan Negeri sekarang ini berada dalam situasi yang amat bersedia dan akan mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk memastikan tuntutan negeri dihormati, diberi perhatian dan menghasilkan keputusan-keputusan yang sewajarnya,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru