Punca sebenar kekalahan 3 calon PRS di Sarawak

0
9

Kehangatan politik pada PRU-14 telah menyaksikan kerajaan persekutuan kini dipegang Pakatan Harapan (PH). PH terdiri daripada empat gabungan parti  — PKR, DAP, PPBM dan Amanah. Kini pemerintahan parti Barisan Nasional (BN) selama enam dekad menjadi kerajaan Persekutuan lebur pada 9 Mei, dua hari sebelum ulang tahun ke-72 penubuhan UMNO. Alangkah ironinya.

Momentum gelombang perubahan turut dirasai di Sarawak apabila BN Sarawak hanya dapat memenangi 19 kerusi daripada 31 kerusi yang ditandingi. Apa yang hendak dilihat di sini adalah mengenai tiga kerusi parti kompenen BN Sarawak iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang telah kehilangan tiga kerusi daripada enam kerusi yang ditandingi mereka.

Ketiga-tiga kerusi yang mereka tewas ini merupakan kerusi majoriti pengundi Iban di luar bandar.

Pada PRU-14 ini, tiga kerusi di mana PRS telah tewas adalah di Lubok Antu, Julau dan Selangau. Bagi Lubok Antu, calon Bebas Jugah Muyang menang dengan majoriti 1059 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Manakala di Julau, calon Bebas Larry Sng Wei Shien menang dengan majoriti 1931 undi dalam pertandingan dua penjuru. Bagi Selangau, peguam terkenal Baru Bian (PKR) menang dengan majoriti 486 undi dalam pertandingan dua penjuru.

Tidak dapat dinafikan bahawa bagi kerusi Lubok Antu dan Selangau faktor utama yang menyebabkan kekalahan PRS di kedua-dua kubu kuat mereka ini adalah kerana pemecatan penyandang bagi kedua-dua kerusi ini. Kemarahan rakyat akar umbi di kedua-dua kawasan Parlimen ini telah dibuktikan dengan memberi kekalahan kepada calon PRS-BN pada PRU 14 ini.

Sentimen yang amat kuat semasa tempoh berkempen terutama di Lubok Antu rata-rata ingin memberi pengajaran kepada Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing telah dibuktikan dalam peti undi dengan menolak calon PRS-BN iaitu Robert Pasang Alam.

Saya pernah membuat ulasan dalam tempoh sebelum pengumuman nama calon yang bakal bertanding semasa PRU-14 ini menyatakan bahawa bagi Lubok Antu, calon bukan anak tempatan memang akan ditolak oleh rakyat akar umbi.

Sentimen anak tempatan yang dikenali serta diterima oleh rakyat akar umbi menjadi salah satu faktor penting dalam politik di Lubok Antu. Kini apa yang pernah diperkataan terbukti benar apabila calon PRS-BN kalah pada PRU-14 ini.

Justeru bagi Selangau, saya memang telah menjangkakan Baru Bian memang boleh menang di Selangau kerana rakyat Selangau kecewa dengan pemecatan Datuk Joseph Entulu yang merupakan seorang Menteri sebelum ini pasti diterjemahkan dalam peti undi.

Namun, setelah Baru Bian menang di Selangau dengan majoriti yang agak kecil, salah satu faktor yang turut menyumbang kepada kemenangan beliau ialah faktor rakyat yang inginkan perubahan dan rakyat di Selangau mengenang jasa beliau yang banyak membantu rakyat disitu memperjuangkan isu hak pemilikkan Tanah NCR. Rakyat Selangau pasti akan diwakili oleh seorang Menteri di Kerajaan Persekutuan yang baru setelah kabinet dibentuk dalam masa terdekat. Baru Bian sudah pasti akan menjadi menteri mewakili suara Dayak di Sarawak nanti.

Di Julau, strategi PH Sarawak tidak meletakkan calon mereka untuk bertanding dan membiarkan pertandingan satu lawan satu antara BN dan calon Bebas memang terbukti berkesan.

PRS-BN memang tidak menduga mereka akan kehilangan kerusi Julau ini. Kemenangan calon Bebas iaitu Larry Sng menunjukkan rakyat Julau turut menolak calon PRS Datuk Joseph Salang yang sudah lama bertapak disitu dan rakyat memerlukan muka baharu diketengahkan.

Kini, PRS perlu membuat kajian yang mendalam terhadap penerimaan komuniti Dayak amnya dan Iban khasnya. Adakah  PRS akan terus relevan pada masa depan bergantung kepada keikhlasan mereka untuk mentranformasikan parti serta berkhidmat kepada rakyat? Kekalahan tiga kerusi pada PRU-14 ini pasti memberi tamparan yang hebat amnya kepada PRS dan khasnya kepada James Masing. –Sarawakvoice

Penulis merupakan penganalisis politik yang fokus kepada politik kaum Iban di luar bandar serta pensyarah dalam bidang politik di UNIMAS.