Chieng Jen bengang, nafi spekulasi PBB akan sertai PH Sarawak

0
5

KUCHING: Bukan sahaja menafi, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen sebentar tadi malah bengang dengan spekulasi berlakunya rundingan di antara Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Barisan Nasional (BN) Sarawak berhubung cadangan mereka menyertai Kerajaan Pakatan Harapan (PH)

Tegasnya, laporan itu memetik sumber yang tidak tepat dan tidak disahkan, kerana PH Sarawak bersependapat tidak akan menerima mana-mana parti BN Sarawak menyertai gabungan mereka termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Menerima PBB ke dalam PH seolah-olah menerima Umno menyertai PH di peringkat nasional.

“Kita telah berjuang berhabis-habisan menentang rejim yang korup,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, parti yang diwakilinya juga telah berjuang bersungguh-sungguh untuk menegakkan integriti dan ia disokong oleh kesemua penyokongnya yang turut sama melalui masa-masa sukar dan suram dalam sejarah perjuangan parti.

Ahli Parlimen Stampin dan Pengerusi DAP Sarawak itu kemudian menegaskan, PH Sarawak “tidak boleh dan tidak akan menerima BN Sarawak, terutama PBB, ke dalam gabungan PH Sarawak”.

Mengenai ahli-ahli BN lain, beliau berkata mereka akan diterima, tetapi tertakluk kepada pemeriksaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu.–Sarawakvoice