Azmin angkat sumpah MB Selangor untuk penggal kedua

0
3

KLANG: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Turut berangkat mengiringi baginda pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar akujanji serta pengurniaan surat cara pelantikan Menteri Besar Selangor itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sambil memegang Lembing Sembuana, Mohamed Azmin turut melafazkan 10 ikrar akujanji sebagai menteri besar, antaranya memelihara serta menjunjung tinggi prinsip Rukunegara dan memelihara kedaulatan institusi Raja serta mempertahankannya daripada dicemari dan diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Menteri besar turut berikrar untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta pada masa sama kepentingan sah kaum lain sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, selain memelihara jawatan yang dipegang daripada dicemari dengan pelakuan-pelakuan menyalahi undang-undang.

Istiadat angkat sumpah itu yang disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah berlangsung di Balairung Seri istana pada kira-kira pukul 3.30 petang.

Gambar fail

Turut hadir isteri Mohamed Azmin, Datin Seri Shamsidar Taharin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Mohamed Azmin, 54, yang juga timbalan presiden PKR, mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 23 Sept 2014.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lepas, Mohamed Azmin mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dengan majoriti 25,512 undi dan kerusi Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 undi.

Pada pilihan raya umum itu, Pakatan Harapan mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 51 daripada 56 kerusi DUN.

Sementara itu, BN kehilangan lapan daripada 12 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13 dan PAS hanya mampu memenangi satu berbanding 12 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini.– BERNAMA