Monday, December 5, 2022

Calon BN di Lanang ikrar 50 peratus gaji dan elaun sebagai wakil rakyat diberikan kepada sekolah Cina

Secara Rawak

SIBU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lanang, Kong Sien Chiu hari ini menawarkan surat perjanjian untuk mendermakan sebanyak 50 peratus daripada gaji dan elaunnya jika terpilih sebagai Ahli Parlimen kepada tiga buah sekolah persendirian Cina di kawasan tersebut jika menang.

Beliau menamakan tiga buah sekolah itu sebagai Sekolah Menengah (SM) Wong Nai Siong, SM Tinggi Katolik dan SM Goung Ming Citizen .

Beliau menawarkan sumbangan bulanan sebanyak RM5,000 kepada sekolah-sekolah ini, yang akadnya disampaikan pada hari ini.

SM Tinggi Katolik diwakili oleh Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusannya, Wong Chih Yong, SM Wong Nai Siong diwakili oleh Pengetuanya, Lu Ing Siong dan SM Guong Ming Citizen diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pengurusannya, Tung Tat Shen.

Sien Chiu turut berikrar untuk membantu semua sekolah rendah Cina di Parlimen Lanang, menerusi peruntukan geran sebanyak RM100,000 setiap tahun.

Beliau yang dilihat sebagai “underdog” mengadakan majlis itu sebagai bukti ia bukan janji kosong dan indah khabar dari rupa.

“Ramai pengundi yang tidak percaya akan janji ini, justeru saya sediakan perjanjian bertulis kepada semua sekolah persendirian Cina terbabit.

“Saya akan merealisasikannya menerusi surat perjanjian ini dengan syarat BN menang di kerusi Parlimen Lanang,” katanya dalam sidang media di Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Sien Chiu yang tidak dipertaruh harapan besar, cuba mencabar penyandang daripada DAP, Alice Lau di kerusi yang mempunyai 61,973 pemilih.

Turut bertanding ialah calon Parti Peace, Priscillia Lau.

Pada 2013, Alice memenangi kerusi ini dengan majoriti 8,630 undi.

Sebelum ini, pada 2013, Ahli Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom menjadi Ahli Parlimen yang mendermakan keseluruhan gajinya kepada pelbagai pertubuhan kemasyarakatan yang diwakilinya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru