Saturday, December 3, 2022

Kerajaan akan terus pertahankan kepentingan UiTM, kata Najib

Secara Rawak

RAUB: Kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan dan martabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi pendidikan yang melahirkan ramai cendekiawan dan profesional bumiputera, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, keadaan itu berbeza dengan pembangkang yang sedikit pun tidak mempunyai agenda untuk menjaga institusi yang diwujudkan pada 1967 untuk membangunkan taraf sosioekonomi kaum bumiputera di negara ini.

“Saya nak cakap terus terang… belah sana tidak pernah terlintas di hati mereka untuk menjaga kepentingan dan martabat UiTM. Nak harap pada siapa, Nga Kor Ming, Lim Kit Siang, atau hendak harap pada yang lain, juga tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub di sini hari ini.

UiTM kini telah melonjak sehingga 23 tangga untuk menjadi universiti 158 terbaik di Asia melalui Quacqarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2018.

UiTM  antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia dan kini mempunyai seramai 170,000 pelajar di seluruh negara dengan bilangan alumni seramai 700,000 orang.

Najib berkata hasil penubuhan universiti itu, ramai golongan bumiputera menjawat jawatan penting dan ia juga telah membantu mobiliti sosial tanpa mengira latar belakang.

“Mereka yang ada di kampung paling tersorok pada hari ini pun ada yang berpeluang untuk masuk UiTM, malah menerusi program khas turun padang dari kampung ke kampung yang dilakukan oleh institusi ini juga berjaya mengubah destini anak bangsa,” katanya. — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru