Tuesday, August 16, 2022

Jambatan Batang Samarahan buka dimensi baharu kepada Asajaya dan Samarahan — Rubiah

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Penyandang Parlimen P197 Kota Samarahan dari Barisan Nasional (BN), Rubiah Wang yakin Jambatan Batang Samarahan yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini akan membuka dimensi baharu kepada kawasan tersebut.

“Saya amat positif, pelbagai inisiatif dapat digerakkan susulan siapnya jambatan berharga RM94 juta yang bukan sahaja menyingkatkan perjalanan, malah mendekatkan kawasan Asajaya dan Sadong Jaya dengan bandar raya Kuching.

Katanya, kewujudan jambatan yang dibina melalui usaha gigih Kementerian Kerja Raya dan menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusuf, pendapatan penduduk setempat, terutamanya di Samarahan dan Asajaya akan meningkat.

“Ekonomi mereka akan terus subur kerana penduduknya boleh bergerak mencari rezeki di luar sempadan kawasan masing-masing tanpa perlu terbeban oleh tempoh waktu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyiapan Kerja Akhir Penyambungan Jambatan Batang Samarahan di tapak jambatan tersebut di sini semalam.

Jambatan Batang Samarahan merupakan pelengkap peta pembangunan Kota Samarahan dan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan Samarahan yang lebih moden dan indah.

Asajaya dan Samarahan yang juga terletak di laluan pesisir Sarawak, pernah terkenal sebagai pengeluar kelapa dan nanas, dan kini dikenali sebagai “kota ilmu”.

Antara inisiatif yang dirancang untuk kawasan ini termasuklah sebagai pusat pengeluaran kelapa sawit selain aktiviti pertanian moden seperti buah-buahan dan sayuran, yang dikendalikan secara digital. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru