Friday, September 30, 2022

Isteri mati di depan mata akibat langgar lari di Petra Jaya

Secara Rawak

KUCHING: Luluh hati seorang suami apabila isteri tersayang menghembus nafas terakhir di depan mata, hanya kerana kealpaan orang lain.

Malah sukar baginya melepas tangan si isteri, seakan tidak percaya orang yang tersayang telah pergi selama-lamanya.

Itu realiti yang berlaku kepada sepasang suami isteri, selepas insiden langgar lari di Petra Jaya petang semalam.

Susulan insiden itu, Polis Kuching bertindak mengesan seorang pemandu kenderaan Proton Axia bagi membantu siasatan satu kes tersebut, yang berlaku di Jalan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar jam 5.10 semalam, ketika waktu puncak orang ramai pulang dari kerja.

“Mangsa, seorang wanita sedang membonceng motosikal jenis Honda Wave bersama-sama suaminya di lorong kiri dari arah Satok menuju ke Matang.

“Semasa bergerak lurus, mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah motokar dipercayai jenis Perodua Axia berwarna biru sebelum terjatuh ke permukaan jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala mati di tempat kejadian, di sisi suaminya yang cedera di bahagian bahu, belakang badan, dan kaki.

“Kematian mangsa kemudian disahkan oleh pasukan paramedik Hospital Umum Sarawak sekitar jam 5.30 petang.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak manakala suaminya dibawa ke Jabatan Trauma dan Kecemasan, Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut dan trauma.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu langgar lari terbabit masih diburu.

Saksi kejadian dan mereka yang ada maklumat mengenai pelaku yang disyaki, boleh menghubungi balai polis terdekat, atau menghubungi 082-244444. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru