Tuesday, August 16, 2022

Tiada diskriminasi kaum di bawah pentadbiran saya — Abang Jo

Secara Rawak

BETONG: Kerajaan Barisan Nasional akan sentiasa menggunakan hasil yang diperolehinya untuk membangunkan kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, ini terbukti dengan pelbagai projek pembangunan yang diwujudkan di serata negeri, termasuk laluan lebuh raya Pan Borneo dan Laluan Jalan Pesisir yang mendekatkan jarak luar bandar kepada bandar seperti Kuching, Sibu dan Miri.

“Malah kita turut memperkasa penggunaan internet berhalaju tinggi di seluruh negeri dan ini dapat membolehkan perhubungan media sosial dimantapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Masjid Kampung Tuie di Pusa semalam.

Abang Johari yang berbaju Melayu biru turut diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Adun Saribas, Mohd Razi Sitam dan calon Barisan Nasional Parlimen Betong, Robert Lawson Chuat dan penyandang Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Pada majlis yang sama, Abang Johari menekankan bahawa beliau akan meneruskan pentadbiran yang adil dan berteraskan Islam.

“Saya akan bersandarkan Piagam Madinah, dengan orang Islam dan bukan Islam ditadbir secara saksama.

“Tiada diskriminasi sebaliknya semua keputusan dicapai secara musyawarah,” tegasnya lagi.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menamakan masjid baharu itu sebagai Masjid Ar-Rayyan. Ar-Rayyan bermaksud orang yang tidak merasa dahaga, yang membawa konotasi gerbang ke syurga.

Ketua Menteri turut mengumumkan kelulusan terhadap cadangan pembinaan jalan 10 kilometer jenis R3 dari
Kampung Tuie ke Kampung Suri berhampiran Debak, yang berharga RM42 juta.

Turut diumumkan projek tali air meliputi Kampung Tuie dan sekitar yang berharga RM5.5 juta, selain naik taraf prasarana jalur lebar berharga RM50 juta. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru