Jika kita teliti keputusan undi di ketiga-tiga kerusi Parlimen di Perlis sejak PRU 1999, maka akan didapati bahawa kerusi P.003 Arau adalah yang paling berkemungkinan untuk jatuh ke tangan pembangkang berbanding kerusi-kerusi P.001 Padang Besar dan P.002 Kangar.

Hal ini kerana dalam PRU 2013, Datuk Seri Shahidan Kassim hanya menang dengan majoriti 1,371 undi ke atas Datuk Dr Haron Din. Begitu juga Datuk Ismail Kasim yang menang dengan majoriti 300 undi sahaja ke atas Datuk Dr Haron Din dalam PRU 2008.

Menariknya, sejak PRU 1999, pertandingan di P.003 Arau hanya membabitkan pertembungan dua penjuru antara calon BN dan calon PAS sahaja. Tetapi kini berlaku pertembungan tiga penjuru antara calon BN, calon PAS dan calon PPBM menjadikan persaingan lebih terbuka.

Datuk Seri Shahidan Kassim selaku penyandang kerusi P.003 Arau merangkap Pengerusi Umno Perlis dan Menteri Kabinet mempunyai banyak kelebihan kerana mempunyai sumber yang banyak dan pengaruh yang kuat dengan kedudukan dan pengalaman beliau tersebut.

Ditambah pula apabila antara lima kerusi Dun di bawah P.003 Arau, calon PAS, iaitu Mohd Shukri Ramli, menang dengan majoriti 121 undi di N.15 Sanglang. Manakala Rus’sele Eizan hanya kalah dengan majoriti 85 undi sahaja di N.14 Simpang Empat dalam PRU 2013.

Begitu pun, kemunculan semula Ustaz Hashim Jasin selaku Mursyidul Am PAS di kerusi itu dalam PRU 2018 ini pastilah akan lebih melonjakkan semangat penyokong PAS untuk mengusahakan kemenangan beliau kerana beliau pernah menang di sini dalam PRK 1998. 

Apatah lagi kerana kali ini turut bertanding adalah seorang calon berwibawa dari PPBM, iaitu Prof Madya Datuk Dr Abdul Rahman Daud, bekas pensyarah UPSI. Di mana jika beliau dapat mencuri banyak undi dari Umno kepadanya maka Ustaz Hashim Jasin berpeluang menang.

Walaupun PAS berpecah kepada PAN, tetapi kewujudan PAN tidak banyak menjejaskan kedudukan PAS di Perlis kerana PAN Perlis, khususnya di Arau, tidak kuat. Sebab itulah calon Pakatan Harapan (PH) di Arau adalah dari PPBM bukan dari PAN.

Terdapat juga desas-desus kuat mengenai pertikaian dalaman yang berlaku dalam Umno Perlis, termasuk membabitkan soal pemilihan calon, sehingga menyebabkan pengumuman calon BN Perlis terpaksa ditangguhkan dan menjadi antara negeri terlewat berbuat demikian.

Kemelut pemilihan calon-calon Dun dalam Umno Perlis ini dikhabarkan agak serius kerana ada jentera dan akar umbi Umno yang tidak berpuas hati dengan sesetengah calon yang dipilih menyebabkan ada antara mereka yang menghentikan gerak kerja pilihan raya.

Daripada lima kerusi Dun di bawah P.003 Arau, paling diperbualkan adalah tindakan menukarkan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, dari N.11 Pauh menjadi calon N.06 Bintong di bawah P.002 Kangar di mana mengambil tempat beliau di N.11 Pauh ialah Rozieana Ahmad.

Begitu juga dengan N.15 Sanglang yang menyaksikan calon BN yang tewas tipis dengan majoriti 121 undi dalam PRU 2013, iaitu Datuk Fathul Bari Mat Jahya, digugurkan terus dari menjadi calon di mana mengambil tempat beliau di sini ialah Che Zaidi Saidin.

Begitu juga dengan tindakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang kerap kali memberikan bayangan seolah-olah Kerajaan BN perlu ditukar yang boleh mendatangkan mudarat kepada kedudukan Datuk Seri Shahidan Kassim walaupun mereka agak rapat. –Sarawakvoice 

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Penulis ialah penganalisis politik yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia.