Tinggi sekali nampaknya lambungan beberapa penganalisis politik terhadap Nik Omar Datuk Nik Abdul Aziz yang menjadi calon Parti Amanah Negara (PAN) di kerusi negeri Chempaka dalam  pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.

Paling terkedepan dalam membuat lambungan terhadap Nik Omar ini ialah Pensyarah Kanan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali, yang membuat pengkisahan itu melalui dua portal berita, Malaysia Date Line dan Malaysiakini.

Dalam laporan portal berita Malaysia Date Line, Dr Mazlan menyebut:

  •     “Penyertaan Nik Omar menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di Chempaka seolah-olah meletakkan logo ‘halal’ kepada PH dan PAN khasnya”.
  •     “Penyertaan beliau telah berjaya memecahkan doktrin bahawa hanya PAS parti Islam dan mereka mula fikir undi PH ini tidak ada masalah”.
  •     “Kalau Dr Mahathir Mohamad hasilkan gelombang di kalangan Melayu luar bandar yang menyokong Umno selama ini, Nik Omar telah melahirkan gelombang baru kepada pengundi yang menyokong PAS selama ini.”
  •     “Bagi saya ini satu kejayaan besar Husam Musa dalam karier politiknya khasnya di Kelantan.”

Dalam laporan portal berita Malaysiakini pula, Dr Mazlan menyebut:

  •    “Apabila Nik Omar, seorang anak yang rapat dengan arwah Tok Guru memilih PH, bermakna doktrin kononnya hanya PAS membawa Islam, sudah pecah.”
  • “Nik Omar telah menghapuskan keraguan yang lama bersarang, yang menakutkan mereka memilih parti selain PAS. Jika orang sealim Nik Omar boleh masuk PAN, maka siapa yang lain-lain?”
  • “Gelombang Nik Omar itulah akan bergabung dengan gelombang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecahkan tembok Melayu luar bandar selama ini menghalang pakatan pembangkang.”
  • “Saya percaya tindakan Nik Omar ini memberi impak besar seluruh negara terhadap orang yang pro-Islam tetapi waswas sama ada boleh atau tidak mengundi PAN selain PAS atau tidak.”

Bagaimanapun, tiada bukti saintifik seperti dapatan mana-mana kaji selidik diberikan oleh Dr Mazlan bagi menyokong kenyataan beliau bahawa “Nik Omar telah melahirkan gelombang baru” atau bahawa “tindakan Nik Omar ini memberi impak besar seluruh negara”.

Dr Khairudin Damanhoeri dalam laporan portal beritaMalaysia Date Line juga menyebut kononnya Nik Omar telah berjaya menarik sokongan pengundi wanita dengan ketara sekali di mana, kata beliau, “60 peratus undi wanita Kelantan kini bersama PH”.

Bagaimanapun, tiada bukti saintifik seperti dapatan mana-mana kaji selidik diberikan oleh Dr Khairudin selain pandangan beliau bahawa “Endorsement artis-artis wanita seperti Abby dan Wardina akan semarakkan lagi sokongan di kalangan pengundi wanita muda”.

Ajaib sekali nampaknya kuasa yang digambarkan sebagai dimiliki oleh Nik Omar mengikut penceritaan Dr Mazlan ini hinggakan dalam tempoh sesingkat dua tiga hari sahaja terus berjaya “melahirkan gelombang baru” dan “memberi impak besar seluruh negara”.

Ajaib sekali nampaknya kuasa yang digambarkan sebagai dimiliki oleh Nik Omar mengikut penceritaan Dr Khairudin ini hinggakan dalam tempoh sesingkat dua tiga hari sahaja terus berjaya menarik sokongan 60 peratus undi wanita Kelantan kepada PH.

Saya tiada masalah dengan komentar yang dibuat oleh mana-mana penganalisis politik terhadap sesiapa atau terhadap mana-mana parti politik pun kerana mereka, seperti juga saya, mempunyai kebebasan akademik yang perlu dihormati oleh semua pihak di negara ini.

Hanya sanya, pesan saya adalah apabila memberikan komentar terhadap Nik Omar ini perlulah kita lebih beringat-ingat kerana dibimbangi lambungan yang terlalu tinggi ini akan membahayakan bukan sahaja Nik Omar sendiri tetapi membahayakan PAN juga.

Bayangkanlah apa yang boleh berlaku pada Nik Omar bila dilambung sebegitu tinggi begini, apatah lagi bila adinda beliau, Nik Muhammad Abduh, telah memaklumkan bonda mereka akan turut berkempen di N.06 Chempaka bagi memenangkan calon lawan Nik Omar.

Bayangkanlah juga perasaan golongan berpendidikan agama lain di dalam PAN, khususnya Ahmad Awang dan Abdul Ghani Samsudin, bila mereka dianggap tidak sealim dan tidak sehebat Nik Omar, malah gagal meletakkan logo ‘halal’ kepada PAN.

Begitulah juga dengan lambungan bahawa Nik Omar adalah calon Menteri Besar yang bercanggah dengan kenyataan “rakan rapat Nik Omar” yang “pernah tinggal bersama selama lima tahun ketika sama-sama belajar di Universiti Al Azhar”, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Kata Datuk Dr Mujahid pada 13 Mac lalu: “Nik Omar ini orangnya lembut. Beliau tidak suka suasana tegang dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan dalam politik. Jadi saya tidak fikir beliau sesuai untuk menjadi Menteri Besar kerana ia perlukan orang yang keras hati.”

Pemerhatian saya masih sama, iaitu tindakan ini boleh memakan diri PAN sendiri dengan memberikan persepsi PAN pemecah-belah keluarga, PAN tidak mempunyai kekuatan sendiri dan PAN amat ketandusan pemimpin yang berwibawa.

Tidak dinafikan bahawa kedudukan Nik Omar selaku anak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz boleh mendatangkan sedikit ‘Excitement’ tetapi dengan ketidakaktifan dan ketiadaan jawatan dalam parti sebelum ini adalah terlalu sukar untuk “gelombang Nik Omar” terhasil.

Penulis ialah penganalisias politik yang juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia.